Berita

Celaru wang tebusan RM12 juta: DAP buat laporan kepada SPRM

KUALA LUMPUR, 21 JUN: DAP hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu wang tebusan RM12 juta yang menampakkan percanggahan kenyataan daripada pihak polis, keluarga mangsa culik dan kerajaan Persekutuan.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng membidas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang didakwa cuba memindahkan beban isu wang tebusan berkenaan kepada keluarga mangsa.

Menurut Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut, kerajaan sepatutnya bertanggungjawab kerana keluarga mangsa terbabit tidak dimaklumkan mengenai RM12 juta yang telah didermakan kepada badan amal Filipina seperti yang didakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Minggu lalu, keluarga tebusan mendakwa mereka telah berjaya mengumpulkan RM12 juta melalui penjualan aset dan sumbangan orang ramai bagi membebaskan mangsa culik yang dikurung selama 67 hari oleh pengganas Selatan Filipina.

Malah, mereka mendakwa wang berkenaan telah diserahkan kepada pegawai Cawangan Khas bagi tujuan pembebasan tebusan.

Bagaimanapun, Khalid menafikannya, sedangkan Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri pula berkata wang tebusan berkenaan tidak dibayar, sebaliknya disalurkan kepada badan amal Islam di Filipina.

Terbaharu, akhbar Manila Times memetik sumber yang tidak didedahkan melaporkan bahawa hanya RM8.8 juta daripada jumlah besar tersebut sampai kepada militan Abu Sayyaf.

Menurut akhbar itu lagi, sumber berkenaan mendakwa baki wang tebusan yang dibayar keluarga mangsa culik, iaitu RM3.2 juta itu telah dikongsi bersama oleh anggota dan pegawai Malaysia dan Filipina yang terlibat dalam kes berkenaan. – Roketkini.com