Berita

Kerajaan digesa dakwa pegawai SPRM atas kematian Sarbaini

Pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu didakwa kerana melakukan kecuaian sehingga menyebabkan kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbaini Mohamed lima tahun lalu.

Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said berkata pampasan sebanyak RM213 ribu yang diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan untuk dibayar sebagai ganti rugi kepada keluarga mangsa semalam tidak harus menjadi penamat kepada tragedi melibatkan SPRM itu.

Sebaliknya, beliau yang juga Presiden Teoh Beng Hock Trust For Democracy (TBH Trust) berkata agensi dan pegawai-pegawai yang tidak bertanggungjawab harus didakwa kerana menyebabkan dua kematian di dalam premis mereka pada tahun 2009 dan 2011, iaitu dalam kes Teoh Beng Hock dan Sarbaini.

“TBH Trust menggesa kerajaan untuk memulakan pendakwaan terhadap pegawai-pegawai SPRM yang terlibat dalam menyebabkan kematian Ahmad Sarbani atas kesalahan membunuh tanpa niat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

“Kerajaan juga mesti mengambil lebih banyak inisiatif dalam menyelesaikan kes ini secara adil dan saksama. Ia isu yang sangat besar dan berkaitan dengan nyawa individu, maka tidak harus dibiarkan tergantung begitu saja,” katanya kepada Roketkini.

Mahkamah Rayuan semalam menganugerahkan RM213 ribu sebagai ganti rugi kepada keluarga Ahmad Sarbaini selepas mendapati SPRM telah melakukan kecuaian sehingga membawa kepada kematiannya.

Ahmad Sarbaini, yang bertugas di Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di tingkat pertama bangunan SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada 6 April 2011.

Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Zawawi berkata mana-mana siasatan ke atas suspek mesti dijalankan di tingkat pertama premis SPRM, namun dalam kes Ahmad Sarbaini, siasatan telah dijalankan di dalam sebuah bilik di tingkat tiga bangunan itu.
Malah, Hakim berkata Ahmad Sarbaini yang telah pergi ke pejabat SPRM berhubung dengan kes rasuah perlu dikawal pada setiap masa bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya sesuatu yang buruk kepada suspek. – Roketkini.com