Rencana

Reformasi Kerajaan Tempatan di Pulau Pinang

Membaca tulisan Dato’ Saifuddin Abdullah (Mantan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) – di Sinar Harian bertajuk ‘Reformasi Pihak Berkuasa Tempatan’ (9 Mei 2016) membuatkan saya terpanggil untuk memberi respon mengenai perkembangan yang sedang berlaku di Pulau Pinang yang mungkin ramai tidak tahu.

Sejak Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan) mengambil alih kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 2008, fokusnya adalah untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘International City’ dan ‘People-Oriented Government’ dengan membuat reformasi holistik dalam tadbir urus baik yang berpandukan keadilan sosial dan mengarusperdanakan gender.

Salah satu usaha yang sedang dilakukan adalah dengan melaksanakan Gender Responsive and Participatory Budgeting (GRPB) di kedua kerajaan tempatan iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Projek ini diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (Penang Women’s Development Corporation (PWDC) iaitu sebuah agensi kerajaaan yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri pada 2012. Matlamat utama PWDC adalah untuk mengarusperdanakan gender dan keadilan sosial di Pulau Pinang.

GRPB yang dipanggil Model Penang ini adalah gabungan dua konsep bajet iaitu Gender Responsive Budgeting (GRB) yang telah diamalkan lebih di 100 negara di dunia.

GRB menfokuskan kepada pengagihan sumber yang adil kepada semua masyarakat terutamanya wanita yang masih merupakan salah satu golongan terpinggir di dunia.

Manakala Participatory Budgeting pula telah diamalkan lebih daripada 3,000 tempat di seluruh dunia yang merupakan aspirasi rakyat yang membawa pendekatan bottom-up.

GRB bukanlah perkara baru di Malaysia. Pada tahun 2004, Malaysia telah menjalankan projek perintis GRB di lima (5) Kementerian di Malaysia. Namun begitu, sehingga kini, ia masih belum betul-betul terlaksana. Pulau Pinang telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankannya di tingkat kerajaan tempatan.

Perkembangan terkini GRPB adalah dalam proses perlaksanaan tiga tahun Pelan Tindakan Strategik Penginstitusian GRPB di PBT masing-masing.

GRPB menjadikan rakyat sebagai rakan-kongsi dalam membuat keputusan bagaimana dana pembangunan awam dibelanjakan. Pendekatan partisipasi rakyat yang didokong di bawah projek ini merangkumi beberapa fasa yang melibatkan banci penduduk, kumpulan tumpu bincang dan undi penduduk dalam projek-projek atau program yang menjadi keperluan dan kehendak rakyat.

Contohnya projek komuniti GRPB di PPR Jalan Sungai dan PPR Ampangan telah memperkenalkan Kontrak Komuniti Program Kebersihan yang merupakan satu konsep baru di mana penduduk tempatan di kedua PPR tersebut menjadi ‘kontraktor’ untuk menguruskan kebersihan di tempat mereka yang dulunya diberikan oleh kontraktor luar.

Perbezaan yang ketara dapat dilihat di kedua PPR ini. Ternyata pendekatan ini telah mewujudkan rasa empunya-milik kediaman dan menghargai tempat tinggal mereka. Begitu juga dalam memilih warna cat flat, seperti di PPR Jalan Sungai, komuniti di situ telah melalui proses undi penduduk bagi memilih warna – yang mereka sukai apabila MBPP mengeluarkan peruntukkan mengecat semula flat berkenaan.

Walaupun baru dua tahun perlaksanaan GRPB sebagai projek pilot, Pulau Pinang telah memenangi Anugerah Khas Juri di International Observatory for Participatory Democracy (IOPD) yang diadakan di Brazil pada tahun 2014.

PWDC mempunyai cita-cita besar supaya konsep GRPB ini digunapakai di Kerajaan Tempatan dan seterusnya di Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Keperluan konsep GRB (P) ini memang menjadi hasrat kerajaan persekutuan kerana pada setiap tahun akan terkandung dalam pekeliling Kementerian Kewangan dalam perancangan belanjawan tahunan kepada setiap jabatan dan kerajaan negeri untuk menggunakan pendekatan GR(P)B. Pulau Pinang mengambil langkah untuk pertama yang melaksanakannya. Pulau Pinang sentiasa di hadapan! – Roketkini.com

*Mohd Hafizan Mazuki merupakan Pegawai Projek Kanan Gender Responsive & Participatory Budgeting (GRPB), PWDC.