Rencana

Surat Terbuka kepada Mufti Pahang

Dato’ Seri,

Saya dahulukan surat ini dengan memohon maaf sekiranya perasaan Dato’ Seri tersinggung atas teguran yang ingin saya sampaikan di sini.

Saya, selaku seorang warganegara Malaysia, serta seorang wakil rakyat yang telah dipilih oleh saudara-saudari senegara daripada pelbagai keturunan dan agama, berasa amat kesal dan kecewa terhadap kenyataan Dato’ Seri yang memfitnah parti pilihan saya sebagai Kafir Harbi.

Fatwa Dato’ Seri itu memberi makna bahawa darah saya sebagai seorang ahli parti DAP yang diamanahkan oleh sebahagian ahli-ahlinya untuk memimpin pemuda-pemudanya di Negeri Perak adalah halal.

Mengikut fatwa Dato’ Seri juga, darah ahli-ahli parti saya yang telah berjuang untuk Rakyat Malaysia tidak kira keturunan, agama dan jantina, selama lima puluh tahun lamanya adalah juga halal.

Kenyataan Dato’ Seri tentang DAP sebagai kafir harbi amat berpotensi membawa kesan yang sangat mendalam kepada masyarakat dan bahkan dapat mengundang darurat yang sukar dipulihkan, terutama kerana kedudukan Dato’ Seri sebagai pemimpin masyarakat dan agama.

Bayangkan sekiranya seruan fatwa Mufti ini akan disahut oleh sekali pun hanya segolongan kecil rakyat Malaysia. Bayangkan.

Kami tidak ingin menaruh syak wasangka berlebihan, namun kenyataan Dato’ Seri berkenaan yang mewajibkan ahli DAP diperang habis-habisan telah dikeluarkan sehari sahaja selepas video propaganda Islamic State tersebar, dan ini adalah perkara yang amat merisaukan kita.

Tambahan lagi, kedua-dua pesanan pokok yang sama disampaikan oleh Dato’ Seri dan IS, iaitu supaya muslimin dan muslimat bermusuhan dengan orang bukan Islam, serta menghalalkan darah mereka, adalah pada saya sebagai suatu darurat sosial.

Saya tertanya-tanya, tidakkah kenyataan Dato’ Seri melabelkan sebuah parti politik nasional sebagai kafir harbi itu sebagai tindakan semberono yang sama sekali bertentangan dengan semangat Ramadan yang dianggap penuh rahmat oleh para Muslim?

Saya dengan rendah hati ingin menyatakan pendapat saya bahawa bukan sahaja kenyataan Dato’ Seri itu adalah tidak tepat, malah ia merupakan kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang berupa hasutan, racun dan boleh mengundang darurat.

Untuk bersangka baik, saya anggap kenyataan Dato’ Seri itu dikeluarkan kerana tidak mendapat gambaran yang sebenar tentang DAP. Untuk itu, sempena bulan yang mulia ini, saya ingin mengajak Dato’ Seri untuk berkenal-kenalan, sesuai dengan anjuran Al-Quran dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13;

“Wahai mat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

*Howard Lee Chuan How adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Perak merangkap Setiausaha Antarabangsa DAPSY Kebangsaan.