Berita

Pulau Pinang bersolidariti bersama Guan Eng

GEORGE TOWN, 3 JUL: Sekitar lima ribu orang menyertai program ‘Solidariti Bersama Guan Eng’ di Lebuh Pantai pagi ini bagi menyatakan sokongan mereka terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang sedang berhadapan konspirasi politik jahat setelah didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah dan salahguna kuasa Khamis lalu.

Perjalanan mengambil masa kira-kira 40 minit dari Lebuh Pantai dan berakhir di Padang Kota Lama, sambil orang ramai yang berpakaian t-shirt berwarna warni melaungkan slogan solidariti untuk Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

“Hari ini, kita berjalan secara aman untuk negara kita, bagi membolehkan anak-anak kita hidup dalam negara yang bersih,” ujar Guan Eng dalam ucapan beliau selepas acara tersebut.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua kerana habiskan hari Ahad anda dengan saya.

“Saya ada atau tiada tidak penting, Pulau Pinang tetap milik rakyat,” tambahnya.

Guan Eng didakwa di bawah Seksyen Seksyen 23 Akta SPRM yang dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, berkait pembelian rumahnya di Jalan Pinhorn.

Sokongan orang ramai tidak putus-putus sejak beliau ditahan pihak SPRM setelah mempengerusikan mesyuarat exco Pulau Pinang Rabu lalu.

Malah, kempen derma RM10 bagi menyokong beliau turut berjaya mencecah sasaran RM1 juta dalam masa kurang 24 jam.

“Teruskan perjuangan. Bukan hanya untuk Lim Guan Eng, tapi untuk masa depan anak-anak kita,” tambah Guan Eng lagi.

“Terima kasih kerana berdiri bersama saya demi keadilan. Malaysia boleh jadi milikan rakyat sekiranya rakyat bersatu.” – Roketkini.com