Berita

BN abai janji, DAP ulang gesaan mansuh Dasar Kabotaj

SANDAKAN, 3 JUL: DAP Sabah sekali lagi menggesa kerajaan menghapuskan dasar kabotaj yang telah membawa mudarat kepada pembangunan serta mengehadkan potensi dan kemapanan ekonomi negeri itu sejak 30 tahun lalu.

Ia bagi menyatakan persetujuan terhadap resolusi tersebut yang dibangkitkan oleh Persatuan Peniaga-peniaga Cina Sabah (SUCCC) pada Mesyuarat Agung Tahunan ACCCIM kali ke-70 baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong berkata disebabkan monopoli dan kekangan, perdagangan di Sabah sedang mengalami tahap inflasi serius walaupun mempunyai pelabuhan strategik yang berhampiran dengan negara-negara Asia lain.

“Dasar kabotaj itu jelas sekali membantutkan ekonomi Sabah. Potensi untuk membangunkan pelabuhan seperti Sepanggar sebagai hab antarabangsa terjejas,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dasar kabotaj telah menyebabkan ekonomi Sabah menerima kesan terutamanya dalam pengeksportan barangan berorientasikan pembuatan dan pengimportan barangan pengguna.

Pengimport dan pengeksport di Sabah terpaksa membayar kos yang lebih tinggi daripada kos perkhidmatan perkapalan sehingga menyebabkan harga barangan di negeri itu lebih mahal berbanding negeri-negeri lain.

Kesal dengan sikap kerajaan yang seolah-olah mengabaikan kepentingan negeri itu, Stephen yang juga Pengerusi DAP Sabah menjelaskan bahawa kerajaan perlu meliberalisasikan pasaran dan membolehkan lebih banyak syarikat perkapalan mengambil bahagian dalam perdagangan di negeri berkenaan.

Katanya, ia penting bagi membolehkan persaingan bebas dalam industri perdagangan Sabah dan membangunkan negeri itu sebagai hab Timur-jauh, sekaligus memastikan rakyat Sabah mempunyai masa depan lebih baik dalam sektor perdagangan.

Beliau turut menggesa kerajaan mendedahkan maklumat terkini berhubung cadangan untuk menjadikan pelabuhan Sepanggar sebagai Hab Entrepot Timur yang dijanjikan akan dinaiktaraf sebelum ini.

“Sejak Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan perkara itu tahun lepas, tidak ada banyak pembaharuan atau kemajuan.

“Kerajaan perlu segera memulakan projek ini dan menyiapkan pembinaan itu dalam tempoh lima tahun bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi Sabah,” tegasnya.

Pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, salah satu janji manifesto BN kepada rakyat Sabah adalah memansuhkan Dasar Kabotaj, namun ia tidak dilaksanakan sehingga ke hari ini.

Dasar Kabotaj Negara dilancarkan oleh Kementerian Pengangkutan pada 1 Januari 1980.

Ia menyatakan bahawa pengangkutan barangan dan penumpang ke pelabuhan atau mana-mana tempat hendaklah diangkut oleh kapal tempatan bagi menyekat penglibatan kapal perdagangan asing dalam penghantaran kargo domestik. – Roketkini.com