Berita

Exco Pulau Pinang putuskan Lim Guan Eng terus terajui negeri

GEORGETOWN, 4 JULAI: Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini sebulat suara memutuskan bahawa Lim Guan Eng tidak perlu meletakkan jawatan atau bercuti sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ekoran prosiding mahkamah yang dihadapinya ketika ini.

Mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media di sini hari ini, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, usul yang dicadangkan beliau itu turut disokong Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 2, Prof. Dr. P. Ramasamy.

“Kami (barisan Exco) mempunyai kepercayaan yang penuh terhadap kepimpinan yang amat berhormat Ketua Menteri untuk memimpin Exco dan memimpin kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, dua pertuduhan yang dilemparkan terhadap Guan Eng oleh kerajaan UMNO-Barisan Nasional jelas bermotifkan politik semata-mata.

“Kita rasa beliau (Guan Eng) tidak bersalah. Oleh yang demikian, tidak timbul isu (untuk Guan Eng) letak jawatan atau ambil cuti.

“Sokongan ini adalah sokongan secara bulat suara. Malah, sebelum ini, pemimpin-pemimpin parti dalam Pakatan Harapan juga telah memberi pandangan bahawa Lim Guan Eng akan terus kekal dalam jawatan Ketua Menteri,” katanya.

Keputusan Exco itu dibuat sehari selepas program ‘Solidariti Bersama Guan Eng’ di Dewan Sri Pulau Pinang yang berjaya menarik kira-kira 5,000 rakyat pelbagai kaum untuk turun menyatakan sokongan terhadap Ketua Menteri berkenaan. – Roketkini.com