Rencana

Mengapa Guan Eng tidak perlu letak jawatan

18 tahun lalu, Guan Eng terpenjara kerana membela seorang gadis Melayu bernama Noryati binti Mohamad Yusop, 14, melibatkan kes rogol Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik. Kelantangan Guan Eng menyebabkan beliau disabit kesalahan di bawah dua akta berbeza iaitu Akta Hasutan 1948 dan Akta Percetakan dan Penerbitan.

Guan Eng dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan dan sesudah pendengaran beberapa kali rayuan, beliau dibebaskan 12 bulan kemudian. Akibat terpenjara, Guan Eng hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka, hilang kelayakan mengundi dan hilang kelayakan pencen. Rahim Thamby Chik pula meletakkan jawatannya dan bebas.

Ironi, kali ini Guan Eng dituduh dengan dua pertuduhan rasuah. Cybertrooper dan pencacai BN bersorak, mendesak supaya jawatan Ketua Menteri yang disandangnya dilepaskan mengikut jejak Rahim Thamby Chik yang letak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka meskipun beliau tidak berhadapan dengan pendakwaan rasmi, malah bebas.

“Kalau pembangkang desak Najib letak jawatan kerana isu derma dan 1MDB, kenapa tidak Guan Eng? Kenapa langgar prinsip?” kata pencacai.

Sekali imbas, ada benarnya Guan Eng perlu letak jawatan. Soalnya, adakah wajar beliau perlu lepaskan jawatan dan melanggar prinsip? Jika perlu, atas sebab apa?

Di atas padang yang tidak rata, keadilan boleh dibeli. Namun, Guan Eng tidak mampu dan tidak mahu membeli keadilan; jika beliau cuba berbuat begitu, dengan mudah beliau berhadapan dengan satu lagi pertuduhan, beliau membunuh dirinya dan parti.

Saya suka memetik beberapa persoalan mudah yang ditimbulkan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan bekas Presiden Majlis Peguam Yeo Yang Poh, mengapa Guan Eng tidak perlu letak jawatan:

1) Guan Eng tidak punya apa-apa kuasa untuk mempengaruhi siasatan dan pendakwaan terhadap dirinya

2) Guan Eng tidak mempunyai kuasa untuk memecat atau menukar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mana-mana pegawai polis atau pendakwa

3) Guan Eng tidak mampu mengubah kenyataan dan bukti yang sudah berada dalam tangan Peguam Negara (AG)

4) Adakah pendakwaan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang itu benar-benar bebas? Atau sekadar satu dakwaan yang jelas bermotifkan politik? Pertuduhan bermotifkan politik dan pilih kasih ini dilihat jelas dengan tindak-tanduk Peguam Negara Apandi Ali yang telah ‘menyucikan’ Najib dari kesalahan melibatkan skandal derma RM2.6 bilion Januari lalu.

Keputusan supaya Guan Eng meneruskan perkhidmatannya juga telah dibuat di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini malah sebelum itu, DAP peringkat Negeri Pulau Pinang dan Kebangsaan juga telah meluluskan usul supaya beliau meneruskan khidmatnya sebagai Ketua Menteri.

Dengan empat sebab ini sahaja, Guan Eng wajar untuk tidak melepaskan jawatannya melainkan hilang kelayakan jika sekali lagi teraniaya dihumbankan BN ke penjara.

Soalan sepatutnya sekarang bukan bila Guan Eng perlu lepaskan jawatan tetapi bilakan Datuk Seri Najib Razak akan melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri kerana beliau mampu mempengaruhi keputusan pendakwaan dan berkuasa ke atas pegawai-pegawai persekutuan yang menjalankan tugas dalam siasatan terhadap skandal berbilion ringgit. – Roketkini.com