Berita

1MDB: Pendedahan laporan Ketua Audit Negara bukan pengkhianatan

GELANG PATAH, 11 JULAI: Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang menyangkal dakwaan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak bahawa pendedahan Sarawak Report berhubung laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB adalah satu perbuatan khianat.

Beliau menegaskan, pendedahan tersebut hanya mengesahkan syak wasangka rakyat bahawa skandal RM55 bilion 1MDB itu melibatkan penyelewengan antarabangsa, pengubahan wang haram dan rasuah.

“Skandal terbesar negara tersebut sedang disiasat oleh tujuh negara yang berasingan.

“Bolehkah Salleh hanya memberi satu contoh untuk menyangkal pandangan rakyat selama ini bahawa laporan Ketua Audit Negara itu bukan perbuatan khianat tetapi mengesahkan persoalan bahawa ia ada kaitan dengan penyelewengan dan rasuah?” soalnya dalam satu kenyataan.

Salleh sebelum ini dalam blognya mendakwa bahawa perbuatan Sarawak Report mendedahkan laporan Ketua Audit Negara tentang skandal 1MDB telah menjejaskan keselamatan negara dan satu perbuatan khianat.

Beliau turut mendakwa laman web pendedah maklumat itu cuba memperdayakan orang ramai mengenai laporan siasatan Ketua Audit Negara tersebut kerana ia hanya satu komponen daripada laporan akhir mengenai 1MDB.

Tidak bersetuju dengan dakwaan berkenaan, Kit Siang yang juga Ketua Parlimen DAP berkata laporan Ketua Audit Negara itu merupakan bahagian penting dalam laporan lengkap Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB.

Malah, jelasnya, PAC dalam siasatannya amat bergantung kepada penemuan laporan Ketua Audit Negara itu dalam pembentangan perbincangan, kesimpulan dan cadangan berhubung skandal syarikat milik Kementerian Kewangan tersebut.

“Lebih-lebih lagi, anggota-anggota PAC dari pihak kerajaan dan pembangkang semuanya bersetuju dengan laporan berkenaan dan tidak pernah menolaknya,” katanya.

Laporan siasatan Ketua Audit Negara mengenai skandal syarikat 1MDB telah diklasifikasikan sebagai sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

Sarawak Report bagaimanapun telah mendedahkan beberapa petikan dan dokumen yang menyenaraikan kebimbangan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berhubung beberapa pemindahan dana syarikat itu. – Roketkini.com