Berita

Skandal 1MDB: Penemuan Ketua Audit asas laporan PAC

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Laporan akhir Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bergantung penuh kepada penemuan yang dikemukan Ketua Audit Negara.

Malah menurut, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, prosiding yang dijalankan PAC membabitkan syarikat sarat hutang berkenaan sebenarnya bergantung hampir sepenuhnya kepada penemuan Laporan Ketua Audit bagi tujuan pembentangan perbincangan, kesimpulan dan cadangan.

Oleh yang demikian katanya kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak yang menggambarkan laporan Ketua Audit Negara sebagai remeh dan tidak harus dipandang serius seolah-olah menghina profesionalisme Tan Sri Ambrin Buang.

Salleh dilaporkan sebagai berkata laporan itu sebagai “bukannya lengkap kerana ia hanya menangani satu aspek 1MDB”.

Kenyataan Salleh itu timbul setelah portal Sarawak Report mendedahkan sedutan maklumat yang didakwa sebagai laporan akhir Ketua Audit berkaitan siasatan ke atas 1MDB.

Mengulas lanjut, Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, penemuan laporan tersebut hendaklah disifatkan sebagai fakta dan diuruskan dengan sewajarnya oleh pihak berkuasa. Justeru, persoalan bahawa laporan tersebut “tidak lengkap” tidak timbul sama sekali.

“Laporan Ketua Audit Negara bukan semata-mata ‘satu aspek 1MDB’ sebagaimana yang didakwa Salleh, tetapi merupakan sebahagian daripada Laporan PAC mengenai 1MDB. Tanpanya Laporan PAC tidak akan lengkap,” ujarnya.

Laporan Ketua Audit Negara ketika ini telah diklasifikasikan sebagai rahsia negara mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA), walaupun terdapat dakwaan bahawa laporan itu bebas untuk diteliti umum selepas ia dibentangkan di Parlimen. – Roketkini.com