Berita

DAP lancar kempen jelajah solidariti untuk Guan Eng

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: DAP hari ini melancarkan kempen “Support, Sympathy and Solidarity with Lim Guan Eng” (SSSLGE) yang bakal menyaksikan jelajah ke hampir seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak bermula 20 Julai depan.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata kempen tersebut bertujuan untuk memberi penjelasan terperinci berhubung pendakwaan terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kepada seluruh rakyat Malaysia agar mereka mengetahui perkara sebenar di sebalik konspirasi jahat terhadap beliau.

“Jelajah ke seluruh negeri itu juga akan membuka peluang kepada orang awam untuk memberi pandangan dan soalan mereka secara langsung kepada Guan Eng berkenaan kesnya itu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP di sini.

Anthony menjelaskan, kempen jelajah itu melibatkan pelbagai jenis program yang terbuka kepada semua termasuk perjumpaan dengan orang ramai, majlis makan malam dan ceramah yang bakal dihadiri oleh Lim Guan Eng sendiri.

“Semua program tersebut diadakan di dewan orang ramai supaya DAP dapat mendengar pendapat dan maklum balas rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat mengenai kes Guan Eng tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merayu orang ramai agar dapat terus menyampaikan bantuan kewangan bagi menjayakan kempen yang bakal berlangsung selama sebulan setengah itu.

“Setakat Jumaat lalu, DAP berjaya mengumpul RM1.846 juta daripada orang awam. Lebihan dari RM1 juta untuk ikat jamin Guan Eng akan kami salurkan kepada program-program sepanjang kempen ini serta program program parti yang lain,” kata Anthony yang juga Setiausaha Organisasi DAP.

Turut hadir pada sidang media berkenaan adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari; Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Pengarah Biro Pendidikan Politik Sosialis Muda DAP (DAPSY), Chiong Yoke Kong. – Roketkini.com