Berita

Pendakwaan terhadap Guan Eng makan tuan, sokongan Cina beralih meninggalkan BN

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: UMNO jelas membelakangi pandangan parti komponen kaum Cina dalam Barisan Nasional selepas wujud ramalan peralihan sokongan besar kaum berkenaan terhadap DAP ekoran pendakwaan yang dihadapi Lim Guan Eng.

Kebimbangan itu disuarakan sendiri Presiden Gerakan, Mah Siew Keong seperti yang dilaporkan media semalam.

Mengulas soalan pemberita mengenai perkara itu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pendakwaan yang disifatkan ramai pihak sebagai bermotifkan politik itu jelas mendatangkan kemarahan rakyat.

Pastinya Siew Keong yang juga Ahli Majlis Tertinggi BN menyedari bahawa ia tidak membawa keuntungan politik kepada Gerakan mahupun UMNO.

“Ia malah membuktikan bahawa UMNO tidak kisah langsung dengan pandangan Gerakan atau MCA,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Seremban.

“(Pertuduhan terhadap Guan Eng) dibuat semata-mata demi ‘survival’ politik UMNO,” katanya dalam satu sidang media bagi melancarkan kempen “Support, Sympathy and Solidarity with Lim Guan Eng (SSSLGE) 2.0” di Ibu Pejabat DAP di sini, hari ini.

Isu pendakwaan bermotifkan politik terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang itu timbul setelah Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sendiri mengumumkan akan mengetuai pendakwaan untuk kes berkenaan.

Sebelum ini, Apandi yang dilantik menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang ditamatkan perkhidmatannya telah membersihkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada sebarang salah laku melibatkan syarikat sarat hutang, 1MDB. – Roketkini.com