Berita

1MDB: Tony Pua gesa tiga entiti didakwa terlibat pengubahan wang haram disiasat

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Sarawak Report semalam mendedahkan bahawa syarikat asing milik penuh 1Malaysia Development Berhad (1MDB), 1MDB Global Investment Limited (GIL) telah membuat pembayaran hampir US$1.28 bilion kepada sebuah syarikat yang disyaki palsu, iaitu Kepulauan British Virgin (BVI).

Pembayaran yang dibuat antara 12 September dan 4 November oleh 1MDB itu dipersoalkan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua ekoran pendedahan sebelum ini yang menunjukkan bahawa syarikat BVI yang diperbadankan Aabar Investment PJS Limited sebagai entiti palsu yang kononnya beroperasi sebagai anak syarikat Petroleum Investment Corporation Abu Dhabi (IPIC).

Beliau dalam satu kenyataan medianya hari ini turut mempersoalkan bagaimana dana itu diperoleh 1MDB dan dibayar kepada BVI kerana terdapat beberapa percanggahan daripada kenyataan yang diberi Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung dana yang digunakan.

Pada March 2013, menurut Tony Pua, 1MDB GIL telah membuat pinjaman sebanyak US$3 bilion untuk projek usahasama dengan syarikat Aabar Investment PJS yang berpangkalan di Abu Dhabi bagi tujuan membangunkan projek Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, katanya, usahasama berkenaan gagal.

“Jika usahasama itu benar-benar berjaya, seperti dalam keterangan Arul Kanda kepada PAC pada Januari 2016, mengapa 1MDB GIL membuat pembayaran US$1,279 bilion kepada Aabar (BVI) pada 2014 yang beliau tidak dedahkan kepada PAC?

“Tambahan pula, mengikut penyata kewangan 1MDB, 1MDB GIL mempunyai baki US$1.56 bilion yang dilaburkan ‘dalam pelbagai portfolio pelaburan di bawah jagaan sebuah institusi kewangan berlesen’.

“Selebihnya dana telah habis digunakan ‘untuk tujuan modal dan pembayaran balik hutang bekerja’ pada 31 Mac 2014.

“Arul Kanda juga telah memberi keterangan bahawa US$1.56 bilion pelaburan 1MDB GIL masih utuh dan akan mungkin digunakan sebagai sebahagian daripada langkah rasionalisasi 1MDB.

“Walau bagaimanapun, jika US$1.56 bilion adalah sesungguhnya utuh, maka bagaimana 1MDB GIL mendapatkan US$1,279 bilion daripada bayaran tunai kepada Aabar (BVI)?” soalnya.

Justeru, menurut Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara tindakan Arul Kanda itu membuktikan bahawa beliau telah menipu dan menyembunyikan maklumat penting daripada pengetahuan PAC.

“Ia juga mungkin sebab sebenar mengapa Arul Kanda enggan untuk mengeluarkan penyata bank 1MDB GIL, walaupun kepada Ketua Audit Negara, meski terdapat banyak permintaan untuk berbuat demikian,” katanya.

Sehubungan itu, Tony yang juga Pengerusi DAP Selangor menyeru supaya penyiasat antarabangsa memulakan siasatan terhadap kedua-dua syarikat terbabit yang disyaki telah melakukan pengubahan wang haram yang turut dipercayai dibantu oleh Bank UBS di Singapura.

Bank UBS telah diarahkan tutup oleh Pihak Berkuasa Kewangan Singapura Mei lalu ekoran dakwaan pelanggaran serius melibatkan pengubahan wang haram. – Roketkini.com