Berita

DAP sokong usaha Wisma Putra laksana Kod Tatalaku di Laut China Selatan

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Wisma Putra perlu memberi penjelasan kepada rakyat tentang kesan daripada keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara kepada Malaysia berhubung pertikaian maritim antara Filipina dan China di Laut China Selatan.

Membuat gesaan itu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata kerajaan juga perlu menerangkan langkah-langkah yang akan diambil bagi melindungi integriti dan keselamatan zon ekonomi eksklusif (EEZ) negara di perairan yang strategik itu.

Beliau menambah, DAP percaya bahawa sebarang pertikaian di Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman antara semua negara berkaitan melalui saluran diplomatik serta harus merujuk kepada undang-undang antarabangsa.

“Kami maklum terhadap penyerahan nota oleh kerajaan Malaysia kepada Mahkamah Tetap Timbang Tara yang meminta tribunal itu ‘mengambil kira hak-hak Malaysia’ dalam keputusannya.

“DAP telah dan akan terus memberi sepenuh komitmen bagi mempertahankan kedaulatan dan hak wilayah Malaysia, termasuk zon 200 batu nautika yang merupakan kawasan EEZ,” katanya dalam satu kenyataan.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban menjelaskan, DAP turut menyokong usaha berterusan Wisma Putra untuk menggesa pelaksanaan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan antara China dengan negara-negara ASEAN.

“Ia akan memastikan satu rangka kerja dapat dibuat bagi menyelesaikan pertikaian itu secara aman dan meredakan ketegangan di Laut China Selatan,” tambahnya.

Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague, Belanda baru-baru ini membuat keputusan yang tidak memihak kepada China dalam pertikaian maritimnya dengan Filipina.

Tribunal antarabangsa itu menetapkan bahawa China tidak mempunyai sebarang hak ‘sejarah’ mahupun undang-undang untuk menuntut hak ke atas sumber di perairan Laut China Selatan atas alasan ia berada dalam lingkungan sempadan sembilan garisnya.

Walau bagaimanapun, China yang memboikot perbicaraan itu sejak tahun lalu menganggap keputusan tersebut sebagai keputusan ‘satu pihak’ sahaja.

Sebelum ini, Malaysia turut membuat bantahan diplomatik ke atas China apabila kapal pengawal pantai negara itu berlabuh di kawasan perairan sekitar Gugusan Beting Patinggi Ali, kira-kira 84 batu nautika dari pantai Miri. – Roketkini.com