Berita

DAP tuntut penjelasan aktiviti penjarahan balak dan emas di Pahang

RAUB, 18 JULAI: Kerajaan negeri Pahang dan pihak berkuasa berkaitan digesa menyiasat aktiviti pembalakan oleh sebuah syarikat di Hutan Simpan Kekal Tersang di Mukim Batu Talam dekat sini.

Ariff SabriBukan sahaja pembalakan, aktiviti penerokaan emas turut dijalankan di Sungai Cenik mukim yang sama.

Ahli Parlimen Raub Datuk Mohd Ariff Sabri berkata, kedua-dua aktiviti tersebut nampaknya mendapat restu Kerajaan Negeri Pahang memandangkan masing-masing mendapat lesen untuk menjalankan aktiviti tersebut.

raub1Lesen membalak diberikan kepada Royar Creative Wood Sdn. Bhd. dengan nombor CC 01-2-16 (KP/K)(P) bagi keluasan sekitar 425.33 hektar. Ia telahpun memulakan operasi bermula 15 Mac 2016 sehingga 14 September 2016.

Bagi penjelajahan emas, lesen telah diberikan kepada sebuah syarikat lain di bawah Seksyen 41 Enakmen Mineral 2001, di Sungai Cenik Mukim Batu Talam, Daerah Raub.

Menyifatkan Kerajaan Negeri Pahang bersikap tidak acuh terhadap alam sekitar, Ariff berkata ia jelas menunjukkan mereka hanya berminat untuk ‘melayan’ elit-elit Melayu dan bukan-Melayu melebihi kepentingan rakyat terbanyak.

raub3Pembalakan akan memusnahkan alam sekitar dan membuka jalan untuk kemusnahan gelombang kedua jika emas dilombong kelak.

“Rakyat Raub terus dianiayai, pandangan rakyat dipesong dengan isu kononnya Melayu terancam, dalam masa yang sama pemerintah sibuk membalun hasil mahsul negara,” ujar beliau kepada Roketkini.

“Musibah akan datang jika kita terus menerus berbuat zalim kepada alam sekitar dan makhluk,” katanya. – Roketkini.com