Berita

Pakatan Harapan nyatakan solidariti, ziarah kedutaan Turki

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Pakatan Harapan hari ini mengadakan pertemuan secara tertutup dengan wakil kedutaan Turki di Malaysia, Başak Türkoğlu bagi menyatakan sokongan penuh terhadap kerajaan Turki yang dipilih secara sah melalui sistem demokrasi.

Ia juga diadakan bagi memberi peluang kepada kepimpinan Pakatan Harapan untuk memahami secara langsung perkembangan politik terbaru yang dihadapi negara rantau asia barat berkenaan, khususnya berkaitan cubaan rampasan kuasa oleh tentera Turki pada Jumaat lalu.

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang ditemui selepas pertemuan tersebut melahirkan rasa terharu dengan sokongan yang ditunjukkan rakyat Turki terhadap kepimpinan negara berkenaan sehingga menyaksikan kegagalan cubaan rampasan kuasa tersebut.

“Rakyat negara Turki amat mencintai dan mendokong demokrasi, dan saya berasa bersyukur kerana keadaan sudah mulai pulih di Turki.

“Kami, Pakatan Harapan mengadakan lawatan itu semata-mata untuk menunjukkan solidariti terhadap kerajaan Turki. Banyak perkara yang kita boleh pelajari melalui peristiwa terbabit,” katanya.

Terdahulu, Pakatan Harapan menyerahkan memorandum kepada Başak Türkoğlu sebagai simbol solidariti pakatan pembangkang di Malaysia terhadap pentadbiran kerajaan Turki.

Pertemuan itu turut dihadiri Naib Pengerusi PKR, Nurul Izzah Anwar, Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub, Ketua Wanita Amanah, Siti Mariah Mahmud, Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir, dan Ahli Jawatankuasa Amanah, Dr. Dzulkefly Ahmad.

Jumaat lalu, percubaan rampasan kuasa oleh kumpulan pemberontak dalaman tentera Turki, digagalkan agensi polis negara terbabit dalam masa kurang sehari.

Susulan daripada kejadian itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan bertindak balas dan telah menahan sekurang-kurangnya 6,000 individu yang dipercayai dikaitkan dengan kejadian itu.

Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh dalam pertemuan yang sama turut menyampaikan rasa kebimbingan beberapa pihak di Malaysia berhubungan hukuman mati yang disuarakan Erdogan bagi menghukum dalang rampasan kuasa berkenaan.

“Namun, Duta Turki di Malaysia menegaskan bahawa perbuatan individu-individu terbabit adalah isu penderhakaan, sama seperti di negara ini, boleh dikenakan hukuman mati,” ujarnya. – Roketkini.com