Berita

Jawatankuasa Pusat DAP tangguh pemilihan parti, tumpu PRU-14

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP secara sebulat suara memutuskan untuk menangguh pemilihan pucuk pimpinan parti itu dalam mesyuarat mengenai perkara itu semalam.

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu diambil bagi membenarkan parti untuk memberikan tumpuan kepada Pilihanraya Umum ke-14 akan datang yang dijangka berlangsung lebih awal dari yang dijadualkan.

Tempoh berjawat CEC sedia ada akan luput pada 29 September. Bagaimanapun, mengikut Fasal VIII (1) Perlembagaan DAP, CEC berhak untuk menangguhkan Kongres untuk tempoh sehingga 18 bulan jika pilihanraya umum perlu dilaksanakan dalam masa dua tahun.

“Meskipun tiada pemilihan parti tahun ini, Persidangan Kebangsaan (DAP) akan tetap diadakan pada 4 Disember (tahun ini),” ujar Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban. – Roketkini.com