Berita

Pakatan Harapan kemuka memorandum bantah kenaikan caj letak kenderaan

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: “Saya nak minta menteri sendiri datang ke DBKL dengan LRT, dengan teksi, biar dia cuba dulu, sama ada bas dari rumah dia, tempat dia datang, sampai ke sini atau tidak. Jika tidak, janganlah buat dasar yang susahkan rakyat.”

Demikian cadangan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kepada Menteri Wilayah Tengku Adnan Mansor dalam sidang media seusai penghantaran memorandum membantah kenaikan mendadak caj letak kenderaan di ibu kota yang berkuatkuasa semalam.

“DBKL kata nak kurangkan kenderaan masuk bandar dan dalam masa yang sama mereka kurangkan tempat parkir di kompleks komersial dengan alasan untuk galakkan penggunaan pengangkutan awam, tetapi, pengangkutan awam sangat tidak memuaskan.

“Sebagai orang biasa kita tahu, kadang-kadang kita tiada pilihan, ada masanya terpaksa letak kenderaan di tepi jalan, dan di saman berkali-kali,” tambahnya yang juga Naib Pengerusi DAP.

Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan Kuala Lumpur hari ini yang menyerahkan memorandum kepada DBKL, membantah peningkatan kadar bayaran parkir yang melonjak daripada RM0.80 sejam kepada RM2.00 dan RM3.00 sejam.

Meski secara dasarnya mereka menyokong usaha mengurangkan kesesakan lalulintas di pusat bandar, namun dasar kenaikan caj tersebut hanya wajar dilaksanakan setelah dilakukan perbincangan dan kajian mendalam.

Menurut memorandum tersebut lagi. masih banyak kawasan dalam bandar yang tidak punya akses kepada pengangkutan awam, dan mereka yang bekerja dalam bandar sangat bergantung kepada kenderaan peribadi.

Memorandum itu juga antara lain turut mempertikaikan penswastaan pengurusan dan perlaksanaan sistem kutipan baharu itu yang diberikan kepada Yayasan Wilayah Persekutuan.

Justeru, mereka menuntut supaya kenaikan caj letak kenderaan itu dihentikan kerana sistem pengangkutan awam di Lembah Klang masih tidak memuaskan.

Semalam warga kota dikejutkan dengan pengumuman kenaikan caj letak kenderaan oleh DBKL dari 150 peratus di kawasan pinggir bandar sehingga 200 peratus bagi pusat bandaraya. Ia bermakna kenaikan sehingga RM2.00 bagi jam pertama daripada kadar asal yang hanya RM0.80 – Roketkini.