Berita

Pilihanraya negeri satu kebarangkalian, rundingan diteruskan demi kembalikan mandat kepada rakyat

GEORGE TOWN, 20 JULAI: Mandat perlu dikembalikan kepada rakyat untuk menghakimi salahguna kuasa Barisan Nasional (BN) yang terus menindas hak asasi, menghancur ekonomi negara dan membiak korupsi.

Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC) yang bersidang 18 Julai lalu justeru memutuskan bahawa pilihanraya mengejut bagi negeri Pulau Pinang adalah satu pilihan yang boleh dipertimbangkan, dan perlu dibincangkan dengan rakan-rakan Pakatan Harapan.

Bercakap dalam sidang media di Komtar, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, DAP tidak mahu membuat keputusan unilateral tentang perkara terbabit dan akan terus mengadakan perbincangan untuk mencapai kata sepakat.

“Kami sedia mendengar kesemua pendapat,” ujar beliau yang juga Setiausaha Agung DAP.

“Bersama pimpinan DAP di peringkat nasional dan negeri Pulau Pinang, saya telah bertemu dengan pimpinan PKR, dan juga telah bertemu dengan Presiden Amanah, Mohamad Sabu semalam,

“Kita akan memberi lebih banyak masa untuk konsultasi,” ujar beliau lagi, sambil menambah bahawa perbincangan mengenai cadangan tersebut sewajarnya dijalankan secara sulit.

Kutuk kebocoran perbincangan

Guan Eng bagaimana pun meluahkan rasa kekecewaanya terhadap perbuatan pihak-pihak tertentu yang bukan sahaja membocorkan isi perbincangan mengenai cadangan pilihanraya negeri berkenaan, bahkan memutar-belit kandungan perbincangan dengan menambah rencah kepada cerita sebenar.

“Saya telah sampaikan rasa kurang senang ini kepada tiga pemimpin tertinggi PKR hari ini tentang pembocoran oleh ‘sumber dalaman’ ini,” kata beliau.

Semalam, Biro Politik PKR dalam kenyataan ringkasnya menyatakan bahawa ia belum diyakinkan tentang objektif utama cadangan mengadakan pilihanraya negeri.

Bercakap dalam sidang media yang sama, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Azmin Ali berkata apa yang dibincangkan semalam adalah untuk mendapatkan keyakinan mengenai objektif sebenar cadangan pilihanraya mengejut tersebut.

“Dan pada hal ini, kita bersetuju untuk meneruskan perbincangan ini. Inilah semangat sebenar Pakatan Harapan,” jelas Azmin yang ditemani Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar. – Roketkini.com