Berita

DAPSY kecam tindakan kerajaan BN sekat pengeluaran kad pelarian

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: DAPSY hari ini mengecam tindakan kerajaan Barisan Nasional yang mengarahkan supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan pengeluaran kad UNHCR kepada individu yang memohon secara ‘walk-in’ ekoran timbul dakwaan aktiviti penerokaan secara haram di Cameron Highland dan Rompin oleh pemegang kad berkenaan.

Menjelaskan rasional di sebalik kecaman tersebut, Setiausahanya, Howard Lee Chuan How berkata, tindakan itu tidak memberikan apa-apa kesan kepada aktiviti penerokaan haram, memandangkan “organisasi di sebalik aktiviti” terbabit bebas untuk mengaji pekerja yang tidak atau memiliki kad UNHCR.

Katanya lagi, dakwaan pemalsuan berleluasa kad berkenaan juga seharusnya ditangani dengan mengambil tindakan terhadap pembekal kad palsu dan pemilik perniagaan yang melakukan penerokaan haram dan bukannya menyekat pengeluaran kad terbabit.

“Sebagai seorang yang menjawat jawatan menteri, mereka harus faham kepentingan mendaftarkan pelarian, sebagai salah satu cara untuk melindungi mereka daripada sebarang eksploitasi dan tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan media sebagai berkata kabinet telah memutuskan untuk tidak lagi membenarkan UNHCR mengeluarkan kad kepada individu secara ‘walk-in’ berikutan timbul dakwaan penerokaan haram oleh pemegang kad berkenaan selain dakwaan penjualan kad UNHCR palsu di Chow Kit.

Mengulas lanjut, Howard Lee berkata, langkah seperti memperkenalkan kad yang sukar untuk dipalsukan, penguatkuasaan undang-undang terhadap peniaga yang melakukan penerokaan haram dan bantuan secukupnya untuk UNHCR melakukan proses dokumentasi dengan mudah adalah jalan lebih baik dan bertanggungjawab.

“Perkara rumit seperti ini memerlukan satu penyelesaian yang difikirkan secara teliti dan bukannya dengan mengenakan tindakan separuh masak dan memangsakan individu yang tidak bersalah seumpama itu,” katanya yang juga Adun Pasir Pinji. – Roketkini.com