Berita

Tindakan undang-undang sita aset 1MDB buktikan para pengkritiknya benar – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Tindakan pihak berkuasa Amerika Syarikat memfailkan tuntutan mahkamah terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam membuktikan kebenaran dakwaan para pengkritik syarikat terbabit.

Katanya, ia membuktikan kebenaran dakwaan pihak pembangkang dan kumpulan yang mahu Datuk Seri Najib Razak berundur daripada tampuk pemerintahan negara mengenai skandal mega berkembar RM55 bilion dan ‘derma’ RM2.6 bilion yang melibatkan perdana menteri itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Rafizi Ramli (Pandan); Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Tempatan, Datuk Seri Shafie Apdal; Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed antara pemimpin yang lantang mengkritik skandal syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu.

“Ia juga membuktikan bahawa bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan adalah betul dan bersifat patriot apabila beliau sendiri membuat lawatan ke seluruh negara untuk meminta supaya siasatan segera dilakukan terhadap skandal 1MDB,” kata Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dalam satu kenyataan hari ini.

Agensi berita Reuters melaporkan bahawa Peguam Negara Amerika telah mengemukakan saman sivil untuk menyita aset bernilai lebih AS$1 bilion yang didakwa dicuri daripada dana 1MDB.

Antara isi kandungan tuntutan mahkamah berkenaan termasuk dakwaan bahawa AS$681,000,000 daripada jualan bon pada 2013 oleh 1MDB telah dipindahkan ke dalam akaun yang dinamakan sebagai “Pegawai Malaysia 1” yang digambarkan sebagai “seorang pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga memegang kedudukan dalam 1MDB”.

Menurut laporan itu lagi, tuntutan mahkamah itu juga berusaha untuk merampas aset “yang terlibat dan dikesan mempunyai kaitan dengan konspirasi antrabangsa berkaitan pengubahan wang haram daripada 1MDB”.

Kesalahan terbabit dilakukan dalam tempoh empat tahun dan melibatkan beberapa individu termasuk pegawai-pegawai kerajaan Malaysia dan rakan mereka yang didakwa berkomplot untuk menipu dengan mengalihkan berbilion dolar amerika daripada 1MDB.

Ia merupakan kes sitaan terbesar yang pernah dibawa oleh Kleptocracy Asset Recovery Initiative,  dalam sejarah Jabatan Kehakiman Amerika.

Tuntutan Mahkamah itu menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz, Ahli Perniagaan, Jho Low dan dua pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem Abdulla Al-Qubaisi dan Mohammed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

Antara aset yang bakal disita oleh kerajaan AS adalah termasuk hartanah mewah di New York dan California, lukisan oleh Vincent Van Gogh dan Claude Monet dan sebuah jet.

Berpuluh-puluh juta dolar Amerika yang telah digunakan untuk menghasilkan filem “The Wolf of Wall Street” yang didakwa daripada dana 1MDB juga termasuk dalam tuntutan mahkamah untuk sitaan itu. Filem itu dihasilkan oleh syarikat milika Riza, Red Granite Picture.

Syarikat yang diasaskan dan ditubuhkan oleh 1MDB pada 2009 itu juga sedang disiasat oleh sekurang-kurangnya enam buah negara iaitu termasuk Amerika Syarikat, Singapura dan Switzerland. – Roketkini.com