Rencana

Pilihanraya Negeri: Biar rakyat Pulau Pinang tentukan nasib DAP

Apa yang Pulau Pinang sibuk sangat nak buat pilihanraya negeri ni? Tidakkah membazir dan menyusahkan? Kenapa tak buat saja serentak dengan pilihanraya umum dengan skala yang lebih besar? Ini semua mesti nak selamatkan Lim Guan Eng, kan?

Kita tidak perlu sembang kencang lagi. Cadangan pilihanraya negeri dibincangkan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP dengan tujuan mengembalikan mandat kepada rakyat Pulau Pinang, untuk menentukan beberapa perkara.

Rakyat Pulau Pinang perlu menentukan sama ada selepas usaha-usaha memburukkan Ketua Menteri mereka, kononnya telah melakukan rasuah dan sama sahaja korupnya dengan pemimpin Umno, mereka masih mahu Lim Guan Eng, DAP dan Pakatan Harapan menerajui pentadbiran negeri Pulau Pinang.

Biar rakyat menghakimi sama ada usaha terancang Barisan Nasional untuk mewarnakan Guan Eng itu sebagai salah seorang koruptor seperti ‘Malaysian Official 1’ yang dinamakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, telah berjaya menarik sokongan kepada BN.

Biar rakyat tentukan sama ada mereka masih ada keyakinan dengan kerajaan negeri Pakatan Harapan yang diketuai Lim Guan Eng.

Daripada rakyat datangnya amanah dan kuasa yang telah mentadbir Pulau Pinang dengan begitu cemerlang sejak 2008, maka kepada rakyatlah kembali mandat itu, supaya mereka boleh menentukan siapa yang mereka mahu sebagai kerajaan negeri untuk lima tahun lagi.

“Lim Guan Eng tidak boleh diselamatkan lagi, mari kita berterus-terang. Saya bukan jenis yang menafikan perkara seperti ini, semua orang tahu, tetapi pilihan raya ini adalah untuk menyelamatkan rakyat dan Malaysia, kerana Malaysia masih boleh diselamatkan.”

Itu kata Guan Eng dalam satu sidang media, yang menunjukkan bahawa pilihanraya negeri bukanlah untuk menyelamatkan beliau daripada masuk ke penjara. BN akan memastikan Lim Guan Eng dinafikan hak bertanding dan seterusnya disumbat ke penjara, di atas pertuduhan yang sengaja diada-adakan demi membunuh kerjaya politik beliau, dan seterusnya membunuh DAP.

Jangan salah anggap bahawa upaya menyerang Guan Eng bertalu-talu itu adalah hanya untuk membunuh karakter beliau sahaja.

Keseluruhan usaha membangkitkan isu dakwaan rasuah Guan Eng ini adalah supaya kita semua terlupa dan mengalihkan perhatian daripada skandal mega 1MDB melibatkan Najib Razak dan suku sakatnya. Ia juga bertujuan untuk memaksa Lim Guan Eng ghaib daripada senario politik negara, supaya kian kurang pemimpin pakatan pembangkang yang berkaliber.

Pilihanraya negeri adalah peluang untuk rakyat Pulau Pinang melayangkan jari tengah kepada Barisan Nasional dan United Malays National Organisation, atas kerakusan pemimpin mereka merompak harta negara.

Silap-silap orang Umno Pulau Pinang pun tak sabar-sabar mahu menanti pilihanraya negeri menzahirkan bantahan mereka terhadap Najib Razak, dan memberikan kemenangan berganda kepada Pakatan Harapan.

Jadi mudahnya begini…

Apabila seorang pemimpin yang dilantik melalui mandat rakyat cuba digugat kepimpinannya itu melalui konspirasi jahat, rakyatlah yang wajar menjadi hakim dan menyatakan sama ada mereka percaya akan konspirasi itu, atau mahu dihumban saja para konspirator dan menjulang pemimpin mereka.

Lebih kurang macam waktu rakyat Turki menumpaskan kereta kebal rampasan kuasa tentera baru-baru ini. Lebih kurang lah. – Roketkini.com