Rencana

Dua perkara ini buat Najib tersenyum

Ada banyak perkara yang mampu untuk membuatkan kita mengukirkan senyuman hari ini. Daripada sekecil-kecil belaian manja kekasih sehingga pujian melambung majikan di pagi Isnin yang membingungkan.

Namun, bagi Perdana Menteri, senyumannya 1 Ogos ini tidak hanya sekadar menampakkan bibir merah jambunya itu. Malah memperlihatkan gigi-giginya yang tersusun hingga ke hujung telinga. Sesuatu yang agak merisaukan, sebenarnya.

Lalu, kita tertanya-tanya, apa barangkali yang membuatkan Datuk Seri Najib Razak begitu gembira hari ini, selain tidur yang mungkin nyenyak di samping isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor. Malah mungkin diulit mimpi-mimpi indah yang tak tergambarkan rakyat biasa.

Bukankah Najib sepatutnya risau dan memperlihatkan wajahnya yang masam mencuka? Bukankah sejak dua tiga minggu lalu, beliau diasak dari luar dan dalam negara. Najib disoal sama ada beliau adalah “Malaysia Official 1”, dikejutkan dengan tuntutan royalti minyak Sarawak, hatta dikhabarkan 1500 ahli UMNO di Sabah keluar parti. Namun, beliau nampaknya tenang dengan senyum yang menampakkan baris-baris giginya.

Adakah ini ada kena-mengena dengan akta baru yang sudah pun diwartakan? Atau melibatkan punch card pertama Datuk Dzulkifli Ahmad di Ibu Pejabat SPRM hari ini? Atau kedua-duanya?

Bukan susah untuk meneka mengapa begitu gembira sekali Najib hari ini. Umum sedia maklum bahawa Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) telahpun diwartakan. Akta drakonian itu antara lain memberi kuasa penuh kepada perdana menteri untuk mengisytiharkan darurat.

Bukan itu sahaja, kawasan yang diisytiharkan darurat boleh digeledah sewenang-wenangnya. Bukan calang-calang kuasa ini, sebelum ini hanya Yang di-Pertuan Agong yang ada kuasa isytihar darurat.

Lebih mengundang kerisauan, belum pun MKN dikuatkuasakan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sudah memberi isyarat awal bahawa MKN akan digunakan jika kononnya penganjuran perhimpunan aman BERSIH bertukar menjadi ganas.

Eh, bukankah MKN diperkenalkan untuk mengekang aktiviti keganasan? Adakah ia akan disalahgunakan untuk menggertak rakyat sendiri yang tidak bersetuju dengan pendirian politik pemerintah? Memang tidak ada hak membantah kah dalam demokrasi ala-Malaysia?

Pelantikan Dzulkifli pula, yang pernah duduk semeja dengan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali ketika membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku 1MDB dan ‘derma’ RM2.6 bilion, tentulah memberikan pengukuhan kuasa kepada Perdana Menteri itu. Akhirnya, semua agensi negara tunduk kepadanya.

Bagaimana lagi kita mampu tersenyum setelah mengetahui alasan mengapa Najib tersenyum hari ini. – Roketkini.com