Berita

Tangguh Akta Majlis Keselamatan Negara, hormati keputusan Raja-raja Melayu

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Kerajaan digesa menangguhkan pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berkuatkuasa hari ini dan menyemak semula saranan Majlis Raja-Raja supaya ia diperhalusi.

Pelaksanaan Akta yang dipercayai telah merampas kuasa darurat Yang di-Pertuan Agong  tersebut menggambarkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak amat terdesak.

Ia memberikan kuasa penuh kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan “kawasan keselamatan” iaitu perintah berkurung kepada sesebuah kawasan tanpa perlu mendapatkan perkenan Agong.

Majlis Presiden Pakatan Harapan, dalam satu kenyataan bersama berkata penguatkuasaan akta tersebut hanya membawa Malaysia menuju ‘negara polis’ dan bersifat kuku besi.

“Pertamanya, akta MKN ini telah mencabul struktur asas Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan jelas melangkaui hak istimewa dan kuasa eksekutif Raja-raja Melayu,” kata kenyataan itu.

Selain itu, MKN juga menjadikan Perdana Menteri berkuasa penuh terhadap badan-badan kerajaan termasuk semua kementerian dan agensi termasuk pasukan tentera dan polis.

Akibat pemusatan kuasa Perdana Menteri ke atas ketenteraan, kawalan dan kawasan darurat, Akta MKN telah menimbulkan keraguan dalam pemisahan kuasa badan-badan Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.

Ia mampu menyebabkan wujudnya perlanggaran hak sewenang-wenangnya termasuklah penangkapan tanpa waran, penggeledahan, penyitaan dan sebagainya.

“Kebebasan rakyat untuk mendapatkan hak sivil mereka hanya terletak atas belas ihsan seorang Perdana Menteri – Najib Razak.

“Beliau boleh dengan sesuka-hati mengisytiharkan sebarang kawasan sebagai “kawasan keselamatan” untuk tempoh enam bulan dan juga berkuasa untuk melanjutkan masanya,” jelas kenyataan terbabit.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan Tan Kok Wai dan Presiden Amanah Mohamad Sabu. – Roketkini.com