Berita

Terlibat bersihkan Najib Razak, Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru wajar ditolak

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru hari ini tidak dipersetujui Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Bekas Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara Datuk Dzulkifli Ahmad dilantik menggantikan Tan Sri Abu Kassim, berkuatkuasa hari ini.

Menurut Kit Siang, Dzulkifli terlalu muda untuk mengepalai SPRM sehingga terpaksa dinaikkan pangkat kepada Jawatan utama Sektor Awam (JUSA) tingkat tertinggi untuk dibenarkan mengepalai agensi berkenaan.

Malah katanya lagi, pelantikan itu juga dilihat tidak bertepatan dengan situasi negara yang sedang berhadapan dengan persepsi negatif antarabangsa berikutan saman sivil yang dikemukakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

“Dzulkifli memainkan peranan penting dalam membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1MDB dan RM2.6 bilion,” jelas Kit Siang, sambil menerangkan bahawa ketika Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali membersihkan Najib Razak daripada sebarang pertuduhan pada 26 Januari lalu, Dzulkifli duduk di sebelahnya dalam sidang media terbabit.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, turut menambahkan bahawa sehingga kini Dzulkifli dan Apandi sendiri masih gagal untuk mengenal pasti siapa ‘Malaysian Official 1’ yang telah dinamakan sebanyak 36 kali dalam dokumen saman DOJ itu.

Sehubungan itu, katanya, rakyat Malaysia harus mempersoalkan sama ada individu yang tidak dapat mengesahkan identiti “Malaysian Official 1” layak menerajui agensi anti rasuah itu.

SPRM dilihat sebagai agensi terakhir yang serius menyiasat dakwaan aliran tunai ke akaun peribadi Perdana Menteri, setelah teraju-teraju Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia yang terlibat dalam pasukan khas siasatan tersebut ditukarkan.

Ini dilihat sebagai salah satu langkah untuk melemahkan semua ancaman terhadap Perdana Menteri dalam mendepani skandal mega berkembarnya sejak Julai tahun lalu. – Roketkini.com