Berita

DAP tempelak cadangan mengarut Noh Omar minta PIBG kutip dana

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Cadangan menteri UMNO Tan Sri Noh Omar yang mahu mewajibkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengutip dana dari orang awam untuk menyelesaikan masalah infrastruktur sekolah adalah mengarut dan tidak masuk akal.

Ia tidak perlu dilakukan jika kerajaan bersikap berhemah, dan menghindarkan sikap tidak peduli terhadap gejala ketirisan wang negara.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dalam kenyataannya mengulas cadangan Noh Omar itu memetik dakwaan ketirisan sejumlah AS$3.5 bilion dana negara dalam skandal melibatkan 1MDB dan peruntukan membelon RM20.3 bilion Jabatan Perdana Menteri.

Wang itu katanya lebih baik digunakan untuk pembangunan pendidikan dan infrastruktur sekolah tanpa perlu memerah rakyat yang semakin tertekan dengan kos sara hidup yang semakin melambung.

“Perdana Menteri bukan sahaja tidak mengurangkan perbelanjaannya, malah bagi tahun 2016 telah menaikkan peruntukan daripada RM19 bilion pada tahun 2015 kepada RM20.3 bilion, yang merupakan 7.6 peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2016.

“Kerajaan sewajarnya mengambil sebahagian daripada peruntukan RM20.3 bilion Jabatan Perdana Menteri untuk digunakan bagi tujuan penyelenggaraan sekolah,” jelas beliau.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baru dilantik semula menganggotai Kabinet itu mencadangkan supaya PIBG di sekolah-sekolah Selangor menjalankan aktiviti mengumpul dana bagi membiayai penyelenggaraan sekolah.

Menurut beliau, peruntukan kerajaan untuk tujuan tersebut tidak mencukupi.

“Langsung tidak masuk akal apabila kerajaan lebih sanggup membelanjakan berbilion ringgit untuk menghantar angkasawan menikmati roti canai di angkasa lepas serta membina menara pencakar langit KL118 tetapi enggan menyediakan khidmat asas kepada negara dengan memberikan tempat belajar yang baik,” tempelak Lim Eng. – Roketkini.com