Berita

Selangor cadang undang-undang wajibkan setiap Adun isytihar harta

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kerajaan negeri Selangor akan mewajibkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengisytiharkan harta mengikut undang-undang yang akan diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh berkata, ia adalah salah satu daripada dua penambahbaikan yang sedang dirancang kerajaan negeri bagi memastikan Adun lebih bersikap telus dan bertanggungjawab terhadap rakyat.

“Jika kita dapat luluskan ini dalam mesyuarat yang akan datang, kita boleh mengenalpasti apa aset yang telah diperolehi (oleh Adun), sama ada ia setimpal dengan gaji yang diperolehi.

“Ini adalah untuk mewujudkan suasana yang lebih telus bagi semua ahli dewan negeri untuk lebih bertanggungjawab terhadap rakyat,” kata Naib Pengerusi DAP Selangor itu dalam sidang media selepas DUN berhenti berehat, semalam.

Perkara berkenaan akan dibawa di dalam mesyuarat Jawatankuasa Peraturan Tetap untuk dibincangkan bersama Adun dan pihak-pihak yang terlibat, tambahnya.

Jika usul berkenaan diluluskan, Selangor bakal muncul sebagai negeri pertama yang akan mewajibkan setiap wakil rakyat di bawah pentadbiran kerajaan negeri mengisytiharkan harta.

Setakat ini hanya Exco yang dikehendaki melakukan pengisytiharan harta.

Selain penambahbaikan yang diperkenalkan itu, DUN Selangor juga antara lain memutuskan untuk mempertimbangkan usul meminda peraturan tetap kerajaan negeri bagi mewujudkan ruang khas untuk ketua pembangkang berucap dalam sidang DUN.

Mengikut Peraturan Tetap 13 ketua pembangkang hanya boleh memberikan ucapan di dalam DUN mengikut teks ucapan yang dihantar terlebih dahulu kepada Speaker tidak kurang daripada dua hari sebelum persidangan berlangsung. – Roketkini.com