Rencana

Untung jadi Naib Ketua Pemuda UMNO

Pada 26 Julai 2016, gegak gempita seantero Malaya seorang pemuda telah mengumumkan bahawa beliau telah membuat suatu laporan polis bernombor CHOWKIT/005870/16. Pemuda tersebut bernama Khairul Azwan bin Harun yang juga merupakan Naib Ketua sebuah sayap Pemuda Parti Keramat Melayu menggunakan singkatan Inggeris iaitu UMNO.

Khairul Azwan dalam sidang medianya selepas membuat laporan polis tersebut dilaporkan berkata beliau membuat laporan polis ke atas Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed (bekas Pesuruhjaya SPRM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (bekas Gabenor Bank Negara) dan Tan Sri Abdul Gani Patail (bekas Peguam Negara) kerana mempercayai ketiga-tiga mereka telah secara berseorangan atau bersama terlibat dalam suatu konspirasi menggulingkan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia yang sah dengan memberikan maklumat sulit dan dokumen kepada agensi asing termasuk FBI.

Khairul seterusnya berkata maklumat dan dokumen tersebut telah diberikan tanpa kelulusan pihak berkuasa Malaysia termasuk Jabatan Peguam Negara malah dokumen dan maklumat tersebut adalah palsu, direka dan diputar belit.

Akhirnya dengan tegas dan bangga Khairul Azwan menyatakan di perenggan terakhir laporan polisnya bahawa “PERKARA YANG SAYA LAPORKAN DI SINI BUKANLAH DAKWAAN SEMATA-MATA TANPA ASAS DAN SAYA POHON SUPAYA PIHAK POLIS MENYIASAT PERKARA INI DENGAN SEGERA.”

Polis dilaporkan telah merakamkan kenyataan Khairul Azwan pada 29 Julai 2016 dan semalam pada 2 Ogos 2016 Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata Polis sudah menutup kes dan memberhentikan siasatan terhadap laporan polis Khairul Azwan tersebut.

Alasan yang diberikan oleh Ketua Polis Negara ialah laporan Khairul Azwan tersebut hanya berdasarkan “andaian” yang mungkin diperolehi melalui bacaan di akhbar, mendengar cerita orang sahaja.

Tan Sri Ketua Polis Negara seterusnya dilaporkan berkata semasa dirakam percakapan dan siasatan, Khairul Azwan tidak dapat mengemukakan apa-apa bukti untuk menyokong dakwaannya. Malah Ketua Polis menyatakan bahawa Polis menasihati Khairul Azwan supaya tidak mengulangi perkara yang sama pada masa depan jika tidak mempunyai fakta atau bukti.

Wah, semudah itu kes ditutup. Semudah itu kes selesai. Sudah gegak gempita seluruh alam, dituduh tiga penama di dalam laporan polis terlibat dalam konspirasi menggulingkan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia, sudah mendabik dada ianya bukan dakwaan semata-mata tanpa asas, akhirnya hanya dinasihatkan jangan ulangi perbuatan dan kes ditutup.

Apa istimewanya pemuda dari parti melayu bernama Inggeris itu? Kenapa dia dilayan dengan istimewa? Kenapa dia tidak didakwa melakukan laporan palsu? Kenapa tidak didakwa melakukan fitnah jenayah terhadap ketiga-tiga penama di dalam laporan polis?

Tuduhan terhadap tiga penama di dalam laporan polis Khairul amat serius. Kesalahan jenayah yang didakwa dilakukan oleh tiga Tan Sri tersebut adalah kesalahan di bawah Bahagian 6 Kanun Keseksaan iaitu Kesalahan terhadap Negara yang mana ianya adalah suatu kesalahan keselamatan yang akan dikendalikan melalui Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai SOSMA. Ini amat serius, bukan perkara main-main yang boleh diandaikan.

Polis telah mengambil keterangan, merakam percakapan, menyiasat dan akhirnya membuat kesimpulan atau keputusan bahawa laporan Khairul Azwan adalah tidak berasas malah tidak dibuktikan dengan apa-apa dokumen atau bukti walau pun Khairul menyatakan ianya “BUKAN DAKWAAN SEMATA-MATA TANPA ASAS”.

Bertolak daripada siasatan dan keputusan polis bahawa laporan Khairul tersebut adalah tidak berasas malah hanya bersandarkan andaian yang diperolehi melalui bacaan di akhbar dan mendengar cerita orang, sewajarnya Khairul Azwan bin Harun, Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin diambil tindakan dan didakwa di bawah peruntukkan Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Seksyen 499 Kanun Keseksaan.

Seksyen 182 Kanun Keseksaan melibatkan pemberian maklumat palsu oleh seseorang kepada seorang penjawat awam dengan mulut atau bertulis yang ia ketahui atau percaya sebagai palsu.

Seksyen 499 Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan memfitnah untuk merosakkan nama baik seseorang yang menyebabkan seseorang itu dipandang menjijikkan dan keji.

Seksyen 499 Kanun Keseksaan pernah digunakan dan dipertuduhkan ke atas Tuan Haji Mohamad Sabu, Presiden Parti Amanah Negara dalam isu Mat Indera.

Kenapa Khairul Azwan ini dibiarkan, dilepaskan malah hanya dinasihati? Apa istimewanya Khairul Azwan bin Harun? Adakah kerana dia Naib Ketua Pemuda UMNO atau ada isu lain yang hendak dilindungi?

Maka benarlah jika kamu pemimpin UMNO, kamu dilindungi. Buatlah apa saja tanpa ragu dan gusar kerana undang-undang tidak tertakluk ke atas kamu. Buatlah apa saja tanpa ragu dan gusar kerana pihak berkuasa juga melindungi kamu.

Jika seorang pemuda seperti Khairul Azwan bin Harun boleh dilepaskan dan seolah dilindungi, apatah lagi “Malaysia Official 1”. – Roketkini.com