Berita

DAP sokong cadangan asingkan badan kehakiman daripada bidang kuasa Peguam Negara

GEORGE TOWN. 3 OGOS: Cadangan Ketua Hakim, Tun Arifin Zakaria agar Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) tidak lagi diletak di bawah bidang kuasa Peguam Negara disambut baik.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal menyifatkan cadangan itu sebagai bertujuan mengatasi persepsi orang ramai terhadap kemungkinan wujud gangguan yang tidak wajar atau pengaruh dalam keputusan hakim mahkamah yang lebih rendah.

Ini katanya kerana pegawai kehakiman itu pada masa ini dilantik, dinaikkan pangkat, dipindahkan atau dikenakan tindakan disiplin oleh SPKP.

“Tidak syak lagi, Ketua Hakim merujuk kepada doktrin pengasingan kuasa dalam konteks SPKP dan badan kehakiman,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

“Ini yang gagal difahami oleh Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali dan Azalina Othman sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal undang-undang,” tambahnya.

Sabtu lalu, Arifin dilaporkan media sebagai berkata bahawa pihaknya telah menyerahkan kertas kerja cadangan tersebut kepada SKSP. Keputusan berkaitan cadangan itu akan diputuskan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Cadangan itu, katanya, antara lain berkaitan pengasingan kuasa pentadbir hakim mahkamah rendah daripada bidang kuasa Peguam Negara.

Beliau turut menegaskan bahawa pengasingan kuasa itu amat penting bagi mengelak konflik kepentingan dalam membuat penghakiman serta mengikis pandangan negatif mengenai kebebasan institusi kehakiman di mahkamah rendah dalam kalangan masyarakat.

“Hakim mahkamah sesyen dan majistret masih dilantik oleh SPKP, tetapi Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia akan menjadi ketua bahagian kehakiman, manakala bahagian perundangan adalah Peguam Negara.

“Para pegawai akan melihat Ketua Pendaftar sebagai ketua, bukan melihat Peguam Negara sebagai ketua mereka. Kalau tidak, itu akan jadi tidak bebas di mana persepsi itu tidak nampak bebas,” ujar Ariffin menjelaskan cadangannya itu. – Roketkini.com