Berita

DAP gesa batal cadangan pindaan Akta Profesion Undang-Undang (LPA)

GEORGE TOWN, 3 OGOS: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said digesa menarik balik cadangan kerajaan untuk meminda Akta Profesion Undang-Undang (LPA) yang didakwa akan membenarkan campur tangan kerajaan dalam urusan Majlis Peguam.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, pindaan itu antara lain akan memberikan kuasa kepada menteri persekutuan yang bertanggungjawab bagi hal ehwal undang-undang untuk melantik dua ahli sebagai “wakil kerajaan” dalam Majlis Peguam.

Malah, katanya, rang undang-undang itu juga akan meningkatkan korum yang diperlukan untuk mesyuarat agung Majlis Peguam dari 500 kepada 4,000 ahli, atau 25 peratus daripada 17,000 ahli Badan Peguam.

“Dan ia juga akan membenarkan Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal undang-undang untuk menentukan kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan pilihanraya Peguam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya, adalah jelas bahawa pindaan tersebut akan membenarkan campur tangan badan Eksekutif dalam urusan Majlis Peguam sebagai sebuah badan bebas yang komited dalam menegakkan kedaulatan undang-undang, meski kerajaan menafikannya sebelum ini.

19 Julai lalu, Azalina seperti yang dilaporkan media menafikan bahawa kerajaan berhasrat untuk mengawal selia Majlis Peguam Negara melalui pindaan LPA.

Malah beliau memberikan alasan kononnya cadangan itu diperkenalkan untuk “memajukan hubungan baik dan pergaulan sosial di kalangan ahli dan antara ahli dengan orang lain yang terlibat dalam pentadbiran undang-undang dan keadilan di Malaysia”.

Bagaimanapun, badan global, Human Rights Watch (HRW) menyifatkan hasrat kerajaan untuk melaksanakan pindaan itu sebagai bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia.

Timbalan Pengarah HRW bagi rantau Asia, Phil Robertson memberitahu bahwa masyarakat perundangan global perlu menghantar mesej yang jelas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa usaha kerajaan untuk melemahkan kebebasan Badan Peguam hanya akan merosakkan reputasi negara. – Roketkini.com