Berita

DAP gesa kerajaan prihatin kes rogol dan perkahwinan gadis bawah umur

JOHOR BAHRU, 4 OGOS: DAP melahirkan kebimbangannya berikutan keputusan mahkamah membebaskan seorang perogol gadis bawah umur daripada sebarang hukuman jenayah selepas didapati mangsa tersebut menarik semula aduannya.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata, mangsa berusia 14 tahun itu tidak sepatutnya dibenarkan untuk membuat keputusan sendiri, sebaliknya Akta Kanak-kanak 2001 perlu dikuatkuasakan bagi melantik pelindung, seperti peruntukan Akta untuk menguruskan kes itu.

“Tidak patut benarkan mana-mana mangsa di bawah umur untuk menarik semula aduannya. Mangsa di bawah umur selalunya tidak tahu apa hak yang ada pada mereka dan tidak tahu keputusan yang paling baik untuk kepentingan mereka.

“Mereka boleh senang-senang terpengaruh dengan pihak ketiga, walaupun mereka sendiri tidak sedar bahawa keputusan orang ketiga itu akan mendatangkan akibat yang buruk” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Reuters telah melaporkan bahawa seorang lelaki yang didakwa merogol gadis bawah umur setahun yang lalu telah dibebaskan daripada sebarang hukuman penjara selepas mengahwini mangsa. Mangsa kemudiannya turut menarik semula aduannya itu.

Merujuk kes tersebut, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, adalah jelas bahawa dasar kerajaan untuk menangani perkahwinan bawah umur di negara ini “tidak berfungsi” di tahap yang diharapkan.

Malah, katanya, kes seumpama itu bukanlah kes pertama yang pernah direkodkan.

Pada 2013, katanya, seorang pengurus restoran berusia 40 tahun dari Sabah telah dibenarkan untuk berkahwin dengan mangsa rogolnya yang berusia 13 tahun, namun tertuduh tetap dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan sebatan.

Justeru bagi mengelak perkara yang sama daripada terus menular, Nie Ching menggesa kerajaan supaya mengguna pakai resolusi Bangsa-bangsa Bersatu yang telah diterima pada Oktober 2013 untuk menghapuskan perkahwinan kanak-kanak. – Roketkini.com