Berita

DAP kesal operasi Petronas di Sarawak tidak endah anak tempatan

KUCHING, 5 OGOS: Anak tempatan Sarawak perlu diberi keutamaan di peringkat pengurusan eksekutif operasi Petronas negeri itu sejajar dengan hasrat negeri yang mahu penglibatan lebih ramai anak Sarawak dalam agensi petroleum negara tersebut.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata kerajaan negeri perlu meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus anak Sarawak menganggotai bahagian eksekutif Petronas negeri itu dengan mengehadkan jumlah pekerja bukan-Sarawak.

“Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak November 2014, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem telah memaklumkan dewan bahawa Petronas telah bersetuju untuk melibatkan lebih ramai anak Sarawak dalam bahagian sumber manusia, pendidikan dan latihan teknikal.

“Namun, rakyat Sarawak tidak diberi keutamaan dalam pengambilan pekerjanya bagi operasi di sini,” ujar Adun Kota Sentosa itu.

Menurut beliau, sebahagian besar jawatan senior dalam operasi Petronas di Sarawak bukan dalam kalangan warga negeri itu.

“Daripada statistik yang dimaklumkan, hanya 39 peratus dan 46 peratus jawatan peringkat pengurusan dan pengurusan pertengahan diisi oleh rakyat Sarawak,” jelasnya.

Lebih meresahkan lagi, Petronas didakwa lebih mudah memecat pekerja anak Sarawak yang lebih berpengalaman, apabila ia melakukan penstrukturan semula, tanpa mempertimbangkan tugasan lain untuk mereka dalam kumpulan Petronas.

Untuk mencapai sasaran 70 peratus penglibatan rakyat Sarawak, Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching itu mencadangkan supaya kerajaan Sarawak bertegas dengan memperketatkan permit kerja bagi bukan rakyat Sarawak.

Hanya dengan langkah itu katanya, Petronas akan akur supaya lebih banyak peluang diberikan kepada rakyat Sarawak setelah syarikat minyak negara itu tidak endah langsung kepada keputusan DUN Sarawak lebih setahun setengah lalu.

Menjelaskan cadangannya, beliau berkata jika kerajaan negeri boleh melarang kemasukan pemimpin pembangkang ke Sarawak dengan sesuka hati mereka pada pilihan raya negeri lalu demi melindungi kepentingan BN, kerajaan negeri sepatutnya boleh menggunakan kuasa kawalan imigresen yang serupa demi memberi jaminan kerja untuk rakyat Sarawak.

“Jika tidak, cakap-cakap Adenan untuk melindungi kepentingan rakyat Sarawak hanyalah sembang kosong, seperti yang kita lihat dalam tuntutan royalti minyak 20 peratus,” jelasnya. – Roketkini.com