Berita

DAP persoal kos Projek Perumahan Rakyat melampaui harga siling

IPOH, 5 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk menyiasat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Perak dengan kos pembinaan RM165,000 seunit dipercayai mempunyai unsur rasuah.

Gesaan oleh Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham itu dibuat memandangkan kos pembinaannya yang terlalu tinggi berbanding harga siling yang ditetapkan kerajaan negeri iaitu RM70,000 atau lebih rendah bagi seunit rumah kos rendah manakala rumah kos sederhana pula antara RM70,000 sehingga RM140,000.

Menurut Ngeh, projek perumahan melibatkan pembinaan 99 buah unit rumah PPR di Seri Iskandar dan 260 unit apartmen di Kamunting itu telah diumumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Kerajaan Tempatan, Tan Seri Noh Omar.

“Menteri Noh Omar atau Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry bin Abdul Kadir mesti jelaskan sama ada kos RM165,000.00 ini termasuk atau tidak termasuk harga tanah rumah?

“Jika ia termasuk harga tanah, ia masih prima facie dan terdapat elemen rasuah kerana harga tersebut adalah terlalu tinggi berbanding dengan kos yang sepatutnya,” katanya yang juga Adun Setiawan.

Sebaliknya, jika pembinaan tersebut tidak termasuk harga tanah, maka ia melibatkan rasuah yang lebih besar ujar beliau.

Ngeh menegaskan, kos pembinaan rumah itu perlulah mengikut harga siling yang telah ditetapkan.

“Saya meminta agar pihak SPRM menyiasat kedua-dua projek ini dengan segera bagi mengelakkan kehilangan lebih banyak wang rakyat memandangkan terdapat empat lagi projek PPR dengan 2000 unit rumah sedang dirancang untuk dibina di Perak.” – Roketkini.com