Berita

DAP Sabah sedia bekerjasama dengan Shafie Apdal untuk tumbangkan BN

SANDAKAN, 5 OGOS: DAP Sabah menyambut baik dan bersedia untuk bekerjasama dengan bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal dan parti-parti pembangkang negeri itu bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.

Ini termasuklah perjuangan untuk mendapatkan autonomi bagi Sabah sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

Mengalu-alukan langkah Shafie yang telah meninggalkan UMNO, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt berkata perjuangan untuk memartabatkan hak negeri dan rakyat Sabah selaras dengan perjuangan DAP.

“DAP Sabah menyeru seluruh parti-parti politik yang bersetuju dengan perjuangan demi kepentingan rakyat Sabah supaya bekerjasama untuk menumbangkan kerajaan BN dalam pilihanraya akan datang.

“Hanya melalui cara ini akan membawa perubahan yang lebih baik kepada Sabah dan Malaysia,” ujar Ahli Parlimen Sandakan itu dalam satu kenyataan.

Sebagai parti di peringkat kebangsaan, Stephen berkata DAP sentiasa bekerja keras menjunjung prinsip Persekutuan dengan memperjuangkan autonomi demi Malaysia yang lebih adil dan saksama.

Malah, beliau sebelum ini telah mengusulkan pindaan Perlembagaan Persekutuan ke Dewan Rakyat bagi mengembalikan status Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.

Usul itu jelasnya bertujuan membetulkan beberapa perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang gagal diteliti dan menyebabkan Sabah dan Sarawak sekadar menjadi anggota 13 buah negeri dalam Malaysia, dan bukan rakan kongsi setara dalam sebuah Persekutuan. – Roketkini.com