Berita

Rakyat muak dengan isu perkauman, jangan cemarkan industri seni pula – Anthony Loke

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: “Rakyat Malaysia sudah cukup muak dengan isu-isu perkauman yang ditimbulkan oleh puak-puak rasis dalam percaturan politik negara. Janganlah sampai industri seni pun dicemarkan dengan sentimen perkauman”

Demikian respon Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook terhadap isu pengasingan Anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) mengikut kategori bahasa yang menimbulkan perdebatan hangat pelbagai pihak.

Kontroversi timbul setelah filem ‘Ola Bola’ dan ‘Jagat’ yang diperkatakan ramai sebagai antara filem terbaik tahun ini tidak dicalonkan sebagai filem terbaik oleh FFM

Sebaliknya dua karya berkenaan dicalonkan dalam kategori “Filem Bukan Dalam Bahasa Malaysia Terbaik” atas alasan bahawa ia tidak menggunakan Bahasa Malaysia sepenuhnya.

Anthony Loke berkata, naskah seperti ‘Ola Bola’ sepatutnya digalakkan dan diraikan dengan sewajarnya kerana “ia merupakan satu pendekatan yang sangat berkesan untuk menyemai mesej positif dan menanam semangat kekitaan di kalangan masyarakat pelbagai kaum dalam negara”.

“Setiap rakyat Malaysia yang menonton filem ‘Ola Bola’ sudah tentu akan bersetuju bahawa mesej yang dibawa oleh filem tersebut menjana semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia dan meraikan kepelbagaian kebudayaan dalam masyarakat Malaysia.

“Walaupun terdapat sedikit kritikan bahawa perwatakan dan jalan cerita filem tersebut tidak mengikut fakta sejarah yang sebenarnya.

“Namun ia masih dianggap sebagai sebuah filem yang sangat berkualiti dan amat layak dicalonkan sebagai Filem Malaysia yang terbaik untuk tahun 2016,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sehubungan itu, Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban menyeru Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak mengarahkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) untuk menjalankan proses pencalonan semula.

Ia, katanya, bagi mengambil kira filem berkualiti seperti Ola Bola dan Jagat untuk dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik Malaysia.

“Saya telah menghubungi Datuk Seri Salleh sebentar tadi (semalam) melalui telefon dan beliau berjanji untuk melihat dengan mendalam isu ini sejurus beliau kembali ke Kuala Lumpur dari Sabah pada hari Isnin depan,” katanya

Anthony Loke berharap Salleh dapat mengambil tindakan positif untuk memperbetulkan keadaan berkenaan dan tidak membiarkan isu seumpama itu mencemarkan kemuliaan bulan Ogos sebagai bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September.

Sehingga kini, seorang pengiat seni perfileman tanah air dan seorang calon yang dikategorikan dalam anugerah terbabit telah menarik diri sebagai memprotes keputusan badan pengelola anugerah tersebut – Roketkini.com