Berita

Tony Pua tinggalkan mesyuarat PAC, desak siasat Najib Razak

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Kesal dengan kedegilan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk membuka semula siasatan ke atas 1MDB, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua bertindak meninggalkan mesyuarat jawatankuasa tersebut.

Terlebih dahulu, Tony mendesak PAC untuk membuka semua siasatan ke atas 1MDB ekoran pendedahan yang dibuat melalui dokumen saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang mengaitkan syarikat bermasalah milik Kementerian Kewangan terbabit.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin, bagaimana pun menolak desakan terbabit, atas alasan bahawa dakwaan dalam saman sivil DOJ tersebut hanyalah spekulasi.

“Kita perlu buka semula berasaskan perkembangan yang besar, bukan perkembangan yang kecil.

“Dan kita perlu memanggil Perdana Menteri sendiri untuk jawab di hadapan PAC sama ada perkara yang disebut (dalam saman DOJ) itu benar ataupun tidak,” jelasnya ketika ditemui media di perkarangan bangunan Parlimen.

“Kalau tak benar, biar Perdana Menteri bawa bukti-bukti kepada PAC dan biar PAC pertahankan nama baik Perdana Menteri,” tambah beliau.

Menurut Pengerusi DAP Selangor itu, PAC merupakan jawatankuasa paling berkuasa dalam institusi Parlimen, dan boleh memanggil sesiapa sahaja untuk hadir dan memberikan keterangan.

“Kenapa kita begitu takut untuk memanggil Perdana Menteri?” soal beliau, sedangkan katanya pengerusi PAC sendiri telah sebelum ini menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan sebarang kesalahan dalam skandal berbilion ringgit melibatkan 1MDB.

“Kalau sekarang ada bukti baru, biar dia datang tunjukkan sama ada dia salah atau tidak.”

Tony turut menegaskan bahawa Perdana Menteri dan Pengerusi PAC telah menyalahgunakan laporan PAC untuk membebaskan Najib Razak, sedangkan pada hakikatnya beliau langsung tidak pernah disiasat oleh jawatankuasa terbabit.

20 Julai lalu, DOJ telah memfailkan saman sivil untuk menyita aset-aset yang didakwa digelapkan daripada 1MDB.

Dokumen saman tersebut menyenaraikan beberapa individu termasuk anak tiri Najib, Riza Aziz dan Ahli Perniagaan, Jho Low selain menyenaraikan seorang individu sebagai “Malaysian Official 1” yang didakwa adalah Perdana Menteri sendiri. – Roketkini.com