Berita

Fitnah terhadap agensi awam: DAP buat laporan polis terhadap Naib Ketua Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Pihak polis digesa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap laporan palsu yang dibuat Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia yang didakwa telah menimbulkan perasaan prejudis, sangsi dan kebencian ke atas agensi awam negara ini.

Dalam laporan polis palsu yang dibuat Khairul Azwan Harun 26 Julai lalu, beliau mendakwa Tan Sri Abdul Gani Patail (bekas Peguam Negara), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (bekas Gabenor Bank Negara) dan Tan Sri Abu Kassim Mohamed (bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM) kononnya terlibat dalam komplot menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kemudiannya menutup siasatan terhadap laporan itu setelah pihak polis mendapati ianya berasaskan andaian semata-mata.

Membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi hari ini, Peguam yang juga aktivis DAP Zulhazmi Shariff berkata pengumuman Ketua Polis Negara itu amat mengejutkan kerana Khairul Azwan dalam perenggan akhir laporannya dengan jelas menyebut bahawa ia ‘bukanlah dakwaan semata-mata tanpa asas’.

“Bila ia berkata demikian dan Ketua Polis pula berkata ianya tidak berasas, sepatutnya ia disiasat kerana laporan polis Khairul Azwan tanpa bukti adalah jelas memfitnah penama yang dinamakan,” kata Zulhazmi kepada wartawan.

Kenyataan tidak berasas tersebut jelasnya telah menimbulkan kecurigaan, hilang keyakinan dan prejudis masyarakat terhadap agensi-agensi awam negara dan sistem keadilan negara.

“Ia jelas meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara di dalam konflik, memalukan dan jijik kerana tiga penama yang disebut dalam laporan polis Khairul Azwan adalah bekas pegawai tertinggi agensi-agensi berkaitan,” jelas beliau.

Beliau justeru meminta polis menyiasat kes ini di bawah peruntukan Seksyen 182, Seksyen 194 dan Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan Akta hasutan.

Turut hadir dalam sidang selepas membuat laporan terbabit adalah Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan aktivis DAP Ronnie Liu. – Roketkini.com