Berita

Anak muda perlu terlibat langsung catur hala tuju negara – DAPSY

IPOH, 9 OGOS: Golongan muda perlu melangkaui status quo dalam politik arus perdana negara dan perlu menggalas peranan yang lebih besar dalam kepimpinan sosial dan politik tanah air.

Itu antara intipati Persidangan Pendidikan Politik Sosialis Muda DAP (DAPSY) dan Anak Muda Progresif 2016 bertemakan ‘Internasionalisme dan Mengarusperdana Belia di dalam Kepimpinan Politik’.

Persidangan tersebut dianjurkan Kesatuan Antarabangsa Sosialis Muda (IUSY) buat pertama kali di Ipoh dengan kerjasama DAPSY dan Prospect bertempat di Hotel Excelsior dekat sini selama tiga hari baru-baru ini dengan kehadiran 50 peserta dari seluruh negara.

Presiden IUSY Howard Lee Chuan How dalam ucapannya berkata, program itu bertujuan untuk memperkemaskan lagi pengetahuan anggota-anggota DAPSY dalam memahami kepentingan berkerjasama dalam skop politik antarabangsa.

Ia sekaligus mengetengahkan kepentingan dan agenda masa depan negara yang perlu direncana oleh golongan muda bersama kumpulan-kumpulan masyarakat yang lain supaya tidak ketinggalan dan dipandang rendah.

“Kita mesti beranjak daripada status quo semasa di mana anak muda dipandang rendah, dengan peranan yang lebih kecil dalam kepimpinan sosial dan politik, yang sentiasa terpaksa mendapatkan izin dan kelulusan untuk memajukan agenda yang lebih mengutamakan anak muda.

“Oleh yang demikian, agenda ke hadapan mestilah merupakan agenda yang direncana oleh anak muda, secara bersama dengan kumpulan-kumpulan masyarakat yang lain,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pinji.

Menurut Howard, kepimpinan sosial dan politik yang mementingkan penyertaan anak muda pastinya akan diterjemah kepada dinamika kepimpinan dan keutamaan yang lebih berpandangan jauh.

Selain Howard, antara ahli panel yang terlibat dalam persidangan bersejarah ini ialah Senator Sam Dastyari (Australia), Rafaela David (Filipina), Liew Chin Tong (Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP) dan Wong Kah Woh (Ketua DAPSY Malaysia).

Selain pidato dan perkongsian daripada ahli-ahli panel, peserta juga terlibat dalam latihan bermodul untuk menceritakan analisis SWOT terhadap sayap pemuda parti itu.

Latihan ini jelas Howard bertujuan mencambahkan idea-idea baharu buat kepimpinan muda DAP dalam mengarusperdanakan belia di dalam masyarakat sejurusnya kepimpinan politik negara. –Roketkini.com