Berita

Hantar pulang Duta Amerika jika UMNO sokong dakwaan mengarut Idris Haron

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: DAP membidas kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang mendakwa bahawa kononnya Amerika Syarikat berniat untuk ‘membunuh’ orang Melayu dan menjatuhkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Berucap merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Ampang Ahad lalu, Idris dilaporkan media sebagai berkata bahawa Jabatan Kehakiman (DOJ) AS adalah sebahagian daripada helah politik untuk menghapuskan orang Melayu.

Mengulas kenyataan terbabit Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng, mempersoalkan sikap berdiam diri menteri UMNO berhubung dakwaan serius tersebut.

“Adakah ini bermakna BN dan seluruh Kabinet bersetuju bahawa Amerika sedang merancang untuk menghapuskan orang Melayu menggunakan Jabatan Kehakimannya?” soal beliau.

Lip Eng turut bertanya sama ada kerajaan Persekutuan akan memecat Idris sekiranya beliau enggan menarik balik dakwaan yang telah “membawa malapetaka politik di peringkat antarabangsa” itu.

“Atau adakah BN akan menyokong kenyataan beliau itu?” soalnya sambil menambah bahawa sekiranya demikian, kerajaan sepatutnya menghantar pulang Duta Amerika dan mengisytiharkan perang terhadap negara tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut menggesa supaya Idris menarik semula kenyataannya itu dan meminta maaf kerana telah memalukan negara.

Katanya lagi, kerajaan sepatutnya berterima kasih kepada pihak berkuasa Amerika yang cuba mengembalikan semula aset yang didakwa dicuri daripada dana syarikat milik penuh kerajaan, 1MDB.

“Siapa yang menerima dana berbilion ringgit daripada 1MDB ini dalam akaun peribadi mereka? Anak tiri siapa yang telah berjoli berjuta-juta ringgit dan membeli rumah mewah di Amerika?” soalnya.

20 Julai lalu, DOJ telah memfailkan saman sivil untuk menyita aset-aset yang didakwa digelapkan daripada 1MDB.

Dokumen saman tersebut menyenaraikan beberapa individu termasuk anak tiri Najib, Riza Aziz dan Ahli Perniagaan, Jho Low selain menyenaraikan seorang individu sebagai “Malaysian Official 1” yang didakwa adalah Perdana Menteri sendiri. – Roketkini.com