Berita

Jika DOJ terbukti fitnah, saya akan bela dan pertahan Najib – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: “Jika Datuk Seri Najib Razak mampu membuktikan bahawa dakwaan yang dilemparkan terhadapnya oleh Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) adalah fitnah, saya akan menjadi orang pertama mempertahan dan menebus maruah beliau,” kata Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua.

Menurut beliau, saman sivil yang difailkan DOJ melibatkan kecurian wang 1MDB adalah peluang bagi Najib untuk memberi keterangan dan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Namun, apa yang menimbulkan tanda tanya, Pengerusi PAC Datuk Hasan Ariffin tetap berkeras enggan membuka semula siasatan jawatankuasa itu terhadap 1MDB, begitu juga dengan cadangan untuk menyiasat SRC international Sdn. Bhd. yang turut ada kaitan dengan Kementerian Kewangan.

Kata Tony, sikap keras kepala yang ditunjukkan Hasan bagi menerima dan menyetujui permohonan untuk menyiasat skandal terbesar negara membabitkan Najib itu seolah-olah membuktikan tugasnya adalah sebagai ‘macai’ yang bertujuan menutup semua dakwaan rasuah ke atas Najib.

“Tindakan itu hanya mengesahkan beliau memang ‘cari makan’ dan telah menghina maruah dan integriti badan perundangan tertinggi negara,” katanya yang semalam bertindak meninggalkan mesyuarat PAC setelah gesaannya untuk membuka semula siasatan ke atas 1MDB ditolak Hasan Ariffin.

Sehingga saat ini, PAC belum memanggil Perdana Menteri untuk memberi sebarang keterangan kepada jawatankuasa tersebut berhubung skandal 1MDB.

Skandal 1MDB adalah “skandal kewangan terbesar di dunia” sebagaimana yang diumumkan agensi media UK Guardian setelah DOJ memfaikan saman untuk merampas sebanyak AS$1 bilion daripada aset 1MDB ekoran dakwaan pengubahan wang haram yang dilakukan di negara itu.

Dalam saman sivilnya, DOJ telah memperincikan bagaimana dana berjumlah AS$731 juta telah disalahgunakan, dan masuk ke akaun peribadi individu disebut sebagai “Malaysian Official 1” yang dipercayai adalah Najib Razak sendiri. – Roketkini.com