Berita

DAP gesa gariskan secara jelas perubahan dalam Anugerah Filem Terbaik FFM

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: DAP menyambut baik keputusan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk membuka penyertaan bagi Anugerah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) September ini kepada semua penggiat industri perfileman tanah air.

Menterinya, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak seperti yang dilaporkan Bernama, hari ini, berkata kementerian itu juga turut mewujudkan kategori baharu Anugerah Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan pada FFM yang dikelola Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu.

Bagaimanapun, menurut Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook, FMM dan kementerian berkenaan perlulah menggariskan secara jelas perubahan yang telah diputuskan itu.

“Pihak terbabit perlu menyatakan sama ada pencalonan semula akan dilakukan dan pencalonan sebelum ini bagi kategori Filem Terbaik FFM sama ada dibatalkan atau tidak,” katanya kepada Roketkini.com.

Anthony Loke dalam satu kenyataan sebelum ini menggesa Salleh selaku pihak berwajib memandang serius isu pengasingan Anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) mengikut kategori bahasa yang menimbulkan perdebatan hangat pelbagai pihak.

Kontroversi timbul setelah filem ‘Ola Bola’ dan ‘Jagat’ yang diperkatakan ramai sebagai antara filem terbaik tahun ini tidak dicalonkan dalam kategori Anugerah Filem Terbaik oleh FFM.

Sehingga kini, seorang penggiat seni perfileman tanah air dan seorang calon yang dikategorikan dalam anugerah terbabit telah menarik diri sebagai memprotes keputusan badan pengelola anugerah tersebut.

Mengulas lanjut, Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata dasar kebudayaan kebangsaan perlu dilihat kembali dalam konteks kepelbagaian kebudayaan di negara ini supaya perkara seumpama itu tidak berulang kembali pada masa akan datang.

“Kepelbagaian budaya di negara ini adalah satu kekuatan dan sepatutnya diraikan, justeru ia harus dipertahankan,” tegasnya. – Roketkini.com