Berita

“Najib pergunakan Jho Low, atau Jho Low pergunakan Najib?” – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: “Najib mempergunakan Jho Low, atau Jho Low mempergunakan Najib?”

Demikian persoalan yang dibangkitkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan ahli perniagaan, Low Taek Jho yang didakwa telah melakukan pengubahan wang haram terhadap dana syarikat milik negara, 1MDB.

Menurut Kit Siang, persoalan yang sedang bermain di fikiran rakyat itu sehingga kini tidak terjawab meskipun siasatan telah pun dilakukan oleh pelbagai agensi kerajaan.

“Adakah Parlimen ketika bersidang pada Oktober nanti akan mendengar jawapan persoalan itu dari mulut Najib sendiri, sekurang-kurangnya ketika ucapan pembentangan Bajet 2017 oleh beliau nanti?” Soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dalam satu kenyataan sebelum ini meminta Najib menjelaskan hubunganya dengan Jho Low dalam skandal 1MDB yang kini menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa.

Bulan lalu, Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch mengumumkan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan saman sivil bagi merampas semula aset berkaitan 1MDB yang bernilai lebih AS$1 bilion kerana terlibat dengan pengubahan wang haram.

Selain Jho Low, dokumen itu turut menamakan anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz, ahli perniagaan dari Malaysia, Tan Kim Loong dan dua pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

Turut dinamakan dalam dokumen itu ialah “Malaysia Official 1” yang didakwa menerima jutaan dolar AS hasil penyelewengan dana 1MDB. “MO1” walaupun tidak dinamakan, ia dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri.

“MO1” didakwa menerima AS$ 731 juta melalui pelbagai transaksi yang bermula daripada syarikat Good Star Limited yang dimiliki Jho Low.

Mengulas lanjut, Kit Siang justeru berkata, pendedahan DOJ tersebut menimbulkan persoalan sama ada Najib atau Jho Low yang menjadi benefisiari utama dalam skandal 1MDB itu.

“Sehingga jawapan yang memuaskan diterima, ia akan terus menjadi soalan utama di fikiran semua rakyat Malaysia,” katanya. – Roketkini.com