Berita

Aktivis seni berarak di ibu kota, bantah DBKL roboh Puncak Purnama

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Aktivis bersama penggiat seni hari ini berarak ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi membantah tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan arca warisan negara, Puncak Purnama pada bulan lalu.

Kumpulan itu berarak sejauh kira-kira 250 meter pada pukul 2.10 petang tadi bermula dari pusat membeli-belah Sogo ke pejabat Suhakam untuk menghantar memorandum bantahan.

Sepanjang perarakan berkenaan, mereka menyanyikan beberapa lagu, termasuk “Rasa Sayang” dan “Ale-Ale Malaysiaku” sambil diiringi pelbagai jenis alatan muzik.

Ada di antara aktivis yang terlibat turut membawa deretan panjang kain batik yang tertera perkataan “Rasa Sayang” bagi menyatakan solidariti terhadap warisan seni tanah air tersebut.

Selain itu, perarakan berkenaan dimeriahkan dengan sepanduk dan poster yang mengkritik tindakan kerajaan mengabaikan warisan dan hak cipta seni, antaranya “Selamatkan Seni Demi Masa Depan Kami”, “Buta Seni Tak Pa, Jangan Jadi Penghancur Seni” dan “Solidariti Puncak Purnama”.

Turut kelihatan sepanduk kdemo puncak purnamaarikatur Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, susulan kenyataan beliau sebelum ini bahawa arca Puncak Purnama harus dirobohkan kerana ia “menyakitkan pandangan” sehingga dikecam keras penggiat-penggiat seni tanah air.

Setibanya di hadapan pejabat Suhakam, beberapa anak muda dari komuniti seni, Projek Rabak mendeklamasikan puisi bagi menyatakan kekecewaan mereka terhadap perobohan arca tersebut.

Orang awam yang ada di situ kemudiannya terpukau dengan beberapa persembahan seni aksi tentang Puncak Purnama oleh aktivis-aktivis seni yang hadir, antaranya Kolektif Berdua yang terdiri dari Mohd Faizal Riduan (Wak Kang) dan Ali Hazmeer Hamdan (Amer), Rahmat Haron, Intan Rafiza, Aisyah Baharuddin serta penyajak Pyanhabib.

Pada Julai lalu, DBKL bertindak merobohkan arca Puncak Purnama karya Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal tanpa membuat rundingan dengan mana-mana organisasi seni termasuk Balai Seni Visual Negara. – Roketkini.com