Berita

Pemerdagangan orang: Kecewa pun tak guna, kerajaan memang tidak serius

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Isu pemerdagangan orang yang berlaku di negara ini mampu diatasi sepenuhnya jika kerajaan Persekutuan mempunyai kemahuan politik dan bersedia untuk menunjukkan komitmen yang serius dalam penguatkuasaan undang-undang.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, pihak berwajib perlu menjalankan siasatan tidak berat sebelah dan menangkap sindiket yang menjalankan aktiviti pemerdagangan orang, termasuk melindungi mangsa, dan meningkatkan usaha pemantauan.

“Ia juga termasuk membentuk penguatkuasaan rangkaian serantau untuk menggagalkan penyeludupan dan mengawal proses pengambilan pekerja asing di samping menekan untuk pendakwaan mereka yang terlibat dalam kem-kem penyeludupan manusia.

“Tidak perlu lagi satu pelan peringkat nasional untuk mengatasinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekecewaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi berikutan penyenaraian Malaysia di peringkat dua senarai kebolehpercayaan dalam Laporan Pemerdagangan Orang yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri seperti yang dilaporkan media semalam, turut berjanji akan meningkatkan usaha membawa nama negara di tahap yang lebih baik melibatkan isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Charles berkata, adalah tidak wajar untuk Zahid berasa kecewa dengan penyenaraian tersebut kerana aktiviti pemerdagangan orang sememangnya terjadi di negara ini, malah kian meruncing seperti yang didedahkan sebuah agensi antarabangsa baru-baru ini.

“Menurut laporan Global Slavery Index 2016, lebih 128,000 pekerja di Malaysia bekerja dalam keadaan seperti hamba dan dilayan seperti haiwan ternakan.

“Kaji selidik itu meletakkan Malaysia di tempat ke-50 daripada 167 negara. Hampir setengah peratus daripada 30 juta penduduk berkerja dalam keadaan dieksploitasi – yang digambarkan sebagai ‘perhambaan moden’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Charles turut menarik perhatian apabila mendakwa pernah membantu seorang wanita warga Nigeria yang dipercayai telah diperdagangkan ke negara ini dan menjadi mangsa pusat pelacuran.

“Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyentuh isu-isu seperti ini telah membawa perkara ini kepada perhatian polis, namun tidak apa pun yang berubah.

“Beratus-ratus golongan miskin, orang yang lemah terus menjadi mangsa kepada pengedar yang telah membuat keuntungan yang banyak,” katanya. – Roketkini.com