Berita

Taktik persempadanan semula DUN, DAP tidak akan berdiam diri

MELAKA, 17 OGOS: DAP Melaka menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berdiam diri dengan cadangan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron untuk menghasut SPR melakukan persempadanan demi kelangsungan pentadbiran Barisan Nasional di negera berkenaan.

Ketua Pembangkang DUN Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, memo bantahan akan dihantar kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) sekiranya usul persempadanan semula dengan menambah tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diluluskan.

“Akan rujuk ke Mahkamah juga, selepas usul persempadanan semula lulus di dewan,” katanya kepada Roketkini.

Poay Tiong yang juga Adun Ayer Keroh akan membawa usul ‘mengutuk’ Idris ke persidangan DUN ekoran cadangannya itu.

“Jelas sekali, Idris merasa bimbang akan hilang sokongan majoriti, maka beliau meminta SPR membuat persempadanan kawasan pilihan raya demi memastikan kepentingan politik UMNO dapat dipelihara, seterusnya mendapat kerusi DUN yang cukup untuk memerintah,” katanya.

Beliau turut menyambut baik seruan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang meminta supaya Adun-Adun Melaka tanpa mengira fahaman politik membawa usul ‘mengutuk’ Idris ke sidang DUN.

“Saya berharap wakil dari BN termasuk MCA boleh mengabaikan perbezaan fahaman politik dan menyokong usul ini demi menghormati dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan menyokong sepenuhnya prinsip seorang satu undi dalam sistem demokrasi berparlimen,” katanya.

Taktik kotor UMNO-BN seumpama itu juga pernah dilaporkan Roketkini berlaku dalam kes yang berlainan melibatkan pemindahan pengundi secara senyap oleh SPR di beberapa negeri termasuk Johor, Selangor dan Perak. – Roketkini.com