Berita

DAP minta SPRM buru juga pemberi rasuah melibatkan DBKL

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut sewajarnya memburu individu atau syarikat yang telah memberi rasuah kepada tiga pegawai tinggi kerajaan yang diberkasnya Isnin lalu.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng membuat gesaan itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Rasuah ibarat cinta, tepuk sebelah tangan tak berbunyi. Perlu ada yang memberi dan menerima,” kata beliau.

Beliau turut menggesa supaya agensi kerajaan yang terlibat menghentikan sebarang projek dan kontrak yang diluluskan oleh individu-individu yang didakwa melakukan kesalahan rasuah sementara siasatan dijalankan terhadap mereka.

“Agensi tempat bekerja tiga pegawai terbabit iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mesti menghentikan semua projek dan kontrak yang diluluskan oleh tiga suspek ini sementara siasatan SPRM dijalankan,” katanya.

Ini berikutan laporan bahawa pegawai tinggi DBKL yang ditangkap bergelar Datuk Seri dan bertanggungjawab ke atas projek-projek pembangunan.

“Kelulusan untuk projek-projek pembangunan di Kuala Lumpur yang diselia Datuk Seri ini harus dipersoal dan Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor wajar menggantung semua kelulusan projek pembangunan berkaitan Datuk Seri terbabit.

“Jika mana-mana projek dan kontrak didapati dicemari rasuah, ia harus dibatalkan atau ditenderkan semula,” kata Ahli Parlimen Segambut itu.

Katanya lagi, timbalan dan setiausaha kepada tiga suspek berkenaan perlu disiasat dan dikenakan tindakan disiplin kerana tidak melaporkan kesalahan yang dilakukan ketua mereka kepada pihak berkuasa selain lalai dalam menjalankan tugas.

“Kerajaan juga wajar menggunakan peluang tangkapan SPRM ini untuk mendidik dunia korporat Malaysia dan juga perkhidmatan awam tentang kesan buruk akibat rasuah,” tambahnya.

Kelmarin, media melaporkan bahawa SPRM telah bertindak membekukan akaun simpanan berjumlah lebih RM13 juta milik tiga individu berkenaan termasuk dua daripada mereka bergelar Datuk dan Datuk Seri atas kesalahan menyalahgunakan kuasa, rasuah serta pengubahan wang haram di tiga negeri termasuk Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan. – Roketkini.com