Berita

Zahid dinasihat jangan pandang rendah kesan demonstrasi

IPOH, 18 OGOS: Kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memperlekehkan penganjuran demonstrasi membuktikan keangkuhan Timbalan Perdana Menteri itu dan sikap kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) yang tidak mahu mendengar suara dan tuntutan rakyat.

Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Wong Kah Woh berkata, Zahid yang mengakui dirinya sebagai “bapak demo” sepatutnya memahami semangat dan matlamat demonstrasi dalam mengutarakan ketidakpuashatian terhadap sesuatu keputusan, tindakan atau dasar kerajaan.

“Dengan sikap pimpinan dan kerajaan sebegini, ia mengukuhkan keperluan untuk mengadakan protest jalanan untuk mengutarakan desakan anak-anak muda,” katanya kepada Roketkini.com.

Ahad lepas, Zahid yang juga Timbalan Presiden UMNO dilaporkan media sebagai berkata nasib rakyat tidak terbela melalui tunjuk perasaan atau demonstrasi dan ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

“Bukan saya nak menghina mereka (peserta demo). Ini (Zahid) ‘bapak’ demonstrasi,” kata Menteri Dalam Negeri itu ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai.

Dalam pada itu, Kah Woh yang juga Adun Canning mendesak supaya Zahid membenarkan dan tidak menghalang pengajuran demonstrasi #TangkapMalaysianOffical1 (#TangkapMO1) pada Sabtu minggu hadapan.

“Janganlah bertukar pendiriannya berkenaan demonstrasi apabila telah bertukar menjadi pimpinan tertinggi negara pula,” tambahnya.

Pemuda Pakatan Harapan dalam satu kenyataan bersama sebelum ini sepakat dalam menyatakan sokongan terhadap himpunan aman #TangkapMO1 yang dijadualkan pada 27 Ogos ini di Ibu Kota.

Selain Kah Woh, kenyataan itu turut ditandatangani oleh Ketua Angkatan Muda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Sany Hamzan. – Roketkini.com