Berita

DAP gesa gubal undang-undang atasi masalah jerebu

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Bagi menangani krisis jerebu yang melanda negara, kerajaan Persekutuan mesti menggubal undang-undang merentasi sempadan agar dapat mengambil tindakan tegas ke atas syarikat-syarikat yang terlibat dengan pembakaran terbuka di Indonesia.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata penyelesaian secara diplomatik dengan kerajaan Indonesia bagi menangani masalah tersebut sejak bertahun lalu tidak menunjukkan apa-apa kesan, malah, jerebu masih menjadi masalah utama negara hingga ke hari ini.

Beliau menjelaskan, ia berikutan kegagalan ASEAN memantau kaedah pembakaran terbuka oleh petani-petani di kepulauan Borneo dan Sumatera memandangkan badan itu cuba untuk tidak mengkritik mana-mana syarikat atau negara yang terlibat.

“Bukan hanya syarikat Indonesia yang menggunakan kaedah tersebut, tetapi syarikat-syarikat dari Malaysia dan Singapura turut ada.

“Oleh itu, kita mesti menggubal Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan seperti yang dilaksanakan di Singapura agar semua syarikat Malaysia yang terlibat dapat dikenakan tindakan dan perkara sama tidak berulang lagi,” tegasnya dalam satu kenyataan media.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan bahawa Malaysia dan Indonesia perlu menyelesaikan masalah jerebu tersebut secara diplomatik.

Perkara sama turut dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tahun lalu bahawa kerajaan akan mencari penyelesaian jangka panjang dengan Indonesia bagi memastikan jerebu tidak lagi melanda negara.

Namun, Charles menegaskan, strategi berkenaan tidak memberi apa-apa kesan sejak tahun 1983, malah, setiap tahun, rakyat di negara ini terpaksa berdepan dengan risiko masalah kesihatan akibat jerebu.

“Tindakan kedua-dua pihak cuba untuk menjaga sensitiviti masing-masing akhirnya menyebabkan masalah jerebu semakin teruk,” ujarnya.

Sejak 1983, ASEAN telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan kaedah pembakaran hutan secara terbuka di rantau ini tidak menyebabkan jerebu, termasuk memperkenalkan Pelan Tindakan Jerebu Serantau pada 1997.

Namun, kegagalan pihak berkuasa untuk melaksanakan pelan tersebut serta memantau aktiviti syarikat-syarikat yang terlibat menyebabkan negara-negara di Asia Tenggara terpaksa berdepan dengan masalah itu setiap tahun. – Roketkini.com