Berita

Sepatutnya semua pegawai tinggi kerajaan isytihar harta – Lip Eng

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Kerajaan UMNO sepatutnya melaksanakan dasar bagi mewajibkan setiap individu yang berkhidmat dengan kementerian dan agensi kerajaan untuk mengisytiharkan harta kepada pihak berkuasa sejak dahulu lagi.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng berkata, dasar berkenaan juga seharusnya tidak terhad kepada penjawat awam yang masih memegang jawatan dalam sektor kerajaan, malah sewajarnya diperluaskan kepada bekas-bekas penjawat awam, termasuk menteri.

“Pengisytiharan harta oleh pegawai kerajaan mesti juga melibatkan Menteri-menteri Wilayah Persekutuan, dahulu dan sekarang, Datuk-datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pengarah-pengarah, dahulu dan sekarang.

“Ini kerana persoalan timbul sama ada mereka telah membeli hartanah dan kenderaan mewah selepas mereka bersara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal integriti, Paul Low dan seluruh kementeriannya telah gagal menjalankan tugasnya dengan baik.

“Ini kerana dasar sedemikian sepatutnya dilaksanakan beberapa tahun lalu bagi semua kementerian, ketika Paul Low dipertanggungjawabkan sebagai ‘menteri integriti’,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) seperti yang dilaporkan semalam, mengarahkan semua pegawai DBKL menyerahkan borang pengisytiharan harta terkini.

Langkah itu diambil Ku Nan susulan kes penahanan pegawai kanan DBKL bergelar “Datuk Seri” oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengan jenayah rasuah pada Isnin lepas. – Roketkini.com