Sastera

Cerpen – Lagenda Angin Bogoh

Peristiwa maha misteri dan dahsyat ini telah tercatat di dalam benak fikiran masyarakat melalui kisah-kisah yang disampaikan turun temurun dari sama ada bentuk lisan atau tulisan. Walaupun umum mengetahui keperwiraan Bogoh, tetapi tidak ada pula yang dapat mendabik dada menerangkan secara terperinci bagaimana pada tahun 2015 di bulan Oktober tokoh itu dapat melesap dan menghilangkan malapetaka jerebu.

Ini disebabkan tidak ada teks sahih yang dicatat atau yang survive semenjak kejadian itu, kecuali melalui Hikayat Bogoh Segondoh yang dikarang Ustaz Abdul Aziz al-Hazred pada tahun 2036.

Bagaimanapun teks karangannya lebih cenderung kepada kesusasteraan fiksyen tanpa hujah dan fakta yang boleh disandarkan manusia yang sungguh logik seperti kita ini.

Oleh itu tidak terlalu kasar andai saya rumuskan bahawa semenjak kejadian yang berlaku dua ratus lima puluh delapan tahun itu, kita rakyat Malaysia telah berada di dalam kegelapan fakta yang maha dalam dan tak berpenghujung.

Dari kaji selidik saya selama tiga dekad dan sebagai professor emeritus Pengajian Semantik Nusantara & Semangat Melayu, kepopularan Lagenda Bogoh secara amnya boleh dilihat dari tiga sudut sekolah pemikiran klasik ini:

i. Bogoh berjiwa patriotik dan sekular

Melalui buku dan karya dari golongan sekular dalam tempoh dua ratus tahun ini, terutamanya oleh Dr Mohammad Tony dalam karya ulungnya ‘Bogoh, the Playful Wanderer,’ Bogoh telah dianggap sebagai seorang con-man yang berjaya mempersendakan sistem kepolisian negara dan penduduk kampung di sekitar Yan.

Hujahnya itu disokong oleh tujuh belas laporan polis yang dijumpai di dalam arkib Bukit Aman yang mana kesemuanya mempunyai ciri identikal merujuk kepada sifat Bogoh yang kita semua ketahui. Saya petik di sini tulisan Dr Mohammad:

“…daripada kesemua laporan (polis) yang dibuat oleh orang yang berbeza dalam tahun yang sama telah merujuk kepada seorang lelaki bernama Ibnu Don Hashimi yang didakwa telah melumurkan diri dengan dakwat biru dan kadangkala tahi minyak dari bot nelayan di Singkir Laut, untuk menyamar sebagai orang minyak di siang hari terutamanya ketika selepas solat Jumaat. Fizikal lelaki itu dikatakan setinggi 163 sentimeter, 57 kilogram, berambut ikal paras bahu dan bernafas seumpama pemain ragbi. Matanya yang kekuningan dek banyak mengambil ubatan dan kakinya yang berbau masam seperti percampuran antara bau belacan udang dan bangkai ikan puyu itu tidak lain menunjukkan ciri yang sama kepada tokoh yang diangkat bernama Bogoh…”

Begitu pun, akibat kebakaran yang berlaku di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dua hari selepas Bogoh the Playful Wanderer diterbitkan, kesahihan pandangan tokoh sekular ini tidak dapat disahihkan. Sebaliknya, selepas mencapai penjualan sebanyak tiga juta naskah, didapati Dr Mohammad telah hilang dari radar dan sehingga kini kehilangannya juga merupakan misteri walau ada yang menyatakan bahawa Dr Mohammad telah diculik oleh puak separatis Kedah-Perlis tetapi sehingga kini belum ada kenyataan dari mana-mana pihak.

Bagaimanapun, dua pengikut Dr Mohammad akhirnya menyambung legasi beliau dengan meletakkan Bogoh sebagai “rakyat ideal bagi iklim dosial dan ekonomi Malaysia.” Pendapat ini tidaklah saya sangkal kerana memang telah wujud beberapa NGO dan parti politik yang meletakkan Bogoh sebagai perwira, namun ia tidak sampai kepada kaum lain kecuali hanya untuk kaum Melayu sahaja. Sudah tentu kenyataan popular secular ini bertentangan dengan semangat perlembagaan.

ii. Bogoh Wali Tuhan

Justeru ada pula yang mengambil pendapat kedua mengenai Bogoh ini sebagai Wali Allah yakni jelmaan imej Nabi Khidir. Untuk pandangan kedua ini saya terpaksa memilih jalan senyap kerana ia terlalu sensitif dan bahaya kepada kerjaya saya. Untuk itu saya terpaksa memohon sejuta ampun kepada anda semua kerana tidak mengemukakan pendapat saya terhadap pandangan versi ini.

iii. Bogoh Animis

Sebelum terlajak, perlu juga saya ingatkan bahawa pandangan ketiga yakni pandangan paling popular di Malaysia dan Nusantara tidak dapat tidak ialah bahawa Bogoh merupakan dewa angin yang jika kemarahannya dapat mengangkat dan menghumban Gunung Jerai sehingga ke puncak Gunung Everest dan K2. Kesedihannya pula, seperti digambarkan oleh Ustaz Abdul Aziz al-Hazred, dapat membanjiri seluruh permukaan bumi termasuk Gunung Jerai yang berada di atas Gunung Everest dan K2.

Inilah kenyataan popular dan masih dipegang pakai di dalam masyarakat jelata di Malaysia. Sudah tentu setiap warga tidak dapat melupakan lagu warisan nenek moyang yang popular digunakan untuk menakut-nakutkan anak-anak kecil:

“Anak siapa tertawa itu?
Gigi hitam berkelang periok:
Panau berantai di-pipinya:
Tubohnya bagai langsat masak;
Bogoh sahaja yang akan tahu
Bogoh datang berseri sulam
Ulam paya dipagar madu
Cengkih serotan mahu digerek
Nescaya angin disuluh malu.”

***

Ketiga cabang fahaman dan kisah Bogoh inilah yang telah mengikat kebanyakan rasa ingin tahu para pelajar saya di Universiti Mangkubumi hatta terpaksa juga saya akui buat julung kalinya ada tiga orang pelajar saya telah menggantung diri sehingga mati kerana; 1) rasa sedih yang amat dengan kehidupan Bogoh, 2) takut gagal dalam peperiksaan.

Disebabkan kejadian yang menyayat hati itulah pada 25 Februari 2272 yang lepas saya telah mengumumkan bahawa saya akan menutup langsung kajian Bogoh yang tak berpenghujung ini.

Namun, seperti anda sedia maklum beberapa jam selepas itu, saya terpaksa menarik kata-kata saya dan mengambil tekad untuk terus berjuang mengorek rahsia Bogoh dan sejarah Malaysia ini.

Ya, di waktu sidang media itu saya telah menerima sebuah bungkusan seberat lapan kilogram tanpa setem. Bersama enam ratus enam puluh enam mukasurat tulisan tangan yang cakar ayam itu terselit sebuah tulisan bercetak putih di atas kertas hitam menjelaskan maksud kiriman tersebut. Surat itu ditandatangan oleh Seri Rampai, orang yang mengaku sebagai satu-satunya keturunan Bogoh yang masih hidup.

Sehingga saya mengarang kebenaran ini, beliau masih tidak dapat dijejak walau tiga rejimen askar wataniah telah dikerah mencarinya di Koh Pi Pi.

Ketika tiga rejimen itu mencari Seri Rampai, kami di Universiti Mangkubumi pula menghabiskan lapan hari sembilan malam mengkaji keseluruhan bungkusan itu. Keputusannya, kami akui bahawa kesemua dokumen itu sah berdasarkan rekod karbonnya yang berusia dua ratus lima puluh empat tahun — empat tahun selepas kehilangan Bogoh pada Oktober 2015.

Yang juga menarik minat saya kepada kenapa Seri Rampai bersungguh ingin menyerahkan dokumen ini ialah kerana beliau takut sekiranya kisah benar ini ditemui dan terbocor terlebih dahulu kepada puak sekular, fundamentalis agama dan penganut radikal animism. Seri Rampai rasa dirinya akan lebih tenang jika kisah sebenar Bogoh ini diletak dibawah tanggungjawab saya yang jika boleh, dapat direkod juga secara ilmiah dan disimpan di perpustakaan di Universiti Mangkubumi secara rahsia.

Menurut tulisan cakar ayam itu, pada 1 Oktober 2015 Bogoh telah mengirim utusan kepada Yang di Pertuan Agong dan Perdana Menteri supaya diumum kepada rakyat bahawa Bogoh akan menyelesaikan malapetaka jerebu dengan serta merta.

Namun di dalam surat itu juga terselit pengeras berupa sebuah bot laju dan dua buah telefon bimbit. Dengan penegasan tinggi di ekor surat, Bogoh menjamin dengan nyawanya sendiri yang beliau akan tunaikan janjinya tepat pada 8 Oktober 2015. Beliau juga menuntut agar hari yang bersejarah itu disaksikan semua rakyat secara langsung di semua jenis rangkaian media.

Perlu diambil kira, tegas dokumen kiriman Seri Rampai itu, bahawa situasi politik Malaysia ketika itu diambang sangat bahaya dan boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan kaum, selain menggugat kedudukan Perdana Menteri.

Justeru bagi menyelamatkan negara dan sistem politik, atas nasihat Perdana Menteri, maka Yang di Pertuan Agong pun bersetuju untuk menunaikan permintaan Bogoh.

Apatah lagi berapa ringgit sangat modal yang perlu dikeluarkan daripada cukai rakyat berbanding rahsia gelap setiap ahli politik malaysia ketika itu yang maklumat setiap mereka menunggu masa sahaja untuk dipecahkan oleh puak anarkis digital yang berpangkalan di sebuah kepulauan yang tak dapat dijejaki Interpol.

Maka sebaik diumumkan secara rasmi oleh perdana menteri, bersiap sedialah semua jenis businesman dan pelbagai lapisan rakyat untuk meraikan hari bersejarah yang bakal menghilangkan jerebu di mata dan di kepala masing-masing…

(bersambung)